KUALA LUMPUR – Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kemaman telah menyalurkan bantuan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (IKSP) kepada keluarga individu Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipukul di Pasar Tani Padang Astaka, Kemaman, Terengganu.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, sesi kaunseling dijalankan bagi membantu menstabilkan emosi keluarga mangsa susulan insiden tragis ini.
“JKM melahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan berjanji untuk terus memberikan sokongan kepada keluarganya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, JKM mengecam kejadian pada 17 Januari lalu dan ia dianggap melanggar nilai kemanusiaan dan mencabar tatasusila masyarakat yang diamalkan di negara ini.
Katanya, mangsa disahkan sebagai pemegang Kad OKU kategori mental yang telah diluluskan pada 19 Mac 2023.
“Perkara ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan golongan OKU yang sepatutnya dilindungi daripada sebarang bentuk diskriminasi atau kekerasan,” ujarnya.
Katanya, mangsa disahkan sebagai pemegang Kad OKU kategori mental yang telah diluluskan pada 19 Mac 2023.
JKM turut memuji tindakan pantas polis yang segera mengambil langkah menyiasat perkara itu dan berharap siasatan dapat diselesaikan segera serta pesalah dikenakan hukuman setimpal bagi memberikan keadilan kepada mangsa. – MalaysiaGazette