BANGI – MR.D Hair Studio yang beroperasi sejak 2006 di Bandar Baru Bangi, bukan sekadar kedai gunting rambut biasa. Pemiliknya, Darmalingam Manickam atau ‘Mr D’ bersama anaknya Sivarajan, menyediakan perkhidmatan dengan kasih sayang dan kepakaran dalam mengendalikan kanak-kanak istimewa, terutama mereka yang autisme.
Pengalamannya menjaga adik perempuannya yang menghidap autisme membantunya memahami keperluan pelanggan golongan ini dengan lebih baik. Mr D percaya bahawa setiap anak istimewa adalah anugerah Tuhan yang mengajar kita kesabaran.
Untuk memastikan pengalaman potong rambut yang positif, beliau memperkenalkan peraturan khas yang menggalakkan ibu bapa berkongsi maklumat mengenai keperluan anak-anak mereka.
Selain kepakarannya, Mr D turut dikenali dengan gaya pemakaian sut tiga lapis yang menjadi simbol keyakinan dan profesionalisme. Dengan pendekatan lembut dan keprihatinan terhadap kanak-kanak istimewa, beliau berhasrat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dan menyebarkan nilai kasih sayang kepada semua anak-anak di negara ini.