Peter Anthony

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Datuk Peter Anthony untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana kesalahan pemalsuan dokumen.

Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, bantahan awal itu dijadual didengar di hadapan panel Mahkamah Rayuan berlainan Selasa ini.

“Mahkamah akan mendengar bantahan awal terlebih dahulu. Jika bantahan itu dibenarkan, rayuan Peter tidak akan diteruskan,” ujarnya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony tiba untuk mendengar keputusan rayuan akhir terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 04 MAC 2025 (GAMBAR FAIL).

Dalam notis bantahan awal yang diperoleh portal ini, pihak pendakwaan menyatakan permohonan semakan itu bersifat pramatang (premature) kerana alasan penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan belum lagi lengkap dan belum dikemukakan kepada semua pihak.

“Pemohon tidak dilarang untuk membuat permohonan ini, tetapi ia sewajarnya dibuat selepas alasan penghakiman bertulis yang lengkap dari panel rayuan dikemukakan kepada semua pihak,” ujar pihak pendakwaan.

Peter sedang dipenjarakan kerana kesalahan pemalsuan dokumen memohon kebenaran Mahkamah Rayuan untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000.

Notis usul dan afidavit sokongan bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan, difailkan pada 14 Mac lalu manakala pendengaran permohonan dijadualkan didengar oleh satu panel lain juga pada Selasa ini.

Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah mengemukakan permohonan itu mengikut Kaedah 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, agar Mahkamah Rayuan menyemak keputusan panel berlainan yang menolak rayuan akhirnya.

Dalam notis usul permohonan kebenaran semakan, Peter menyatakan, pihaknya mempunyai alasan yang kukuh agar satu panel berlainan menyemak keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu yang menolak rayuan akhirnya pada 4 Mac lalu.

Peter didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022 bagi satu kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Pemohon dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000.

Pemohon kemudiannya telah merayu keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi dan ditolak pada 18 April 2023. Tidak berpuas hati terhadap keputusan itu, Peter selanjutnya merayu ke Mahkamah Rayuan dan ia juga ditolak oleh panel  dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Peter, 54, didapati bersalah memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering disabitkan memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.

Surat berkenaan menyatakan UMS telah mengadakan kolaborasi dengan syarikat milik Peter iaitu Asli Jati Engineering.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here