BERA – Belum reda berhubung isu ketegangan operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera, muncul pula dakwaan kenderaan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bersama agensi lain disabotaj menggunakan skru ketika menjalankan operasi di kawasan terbabit.
Tindakan berkenaan menimbulkan persoalan sama ada perbuatan itu mempunyai kaitan dengan operasi penguatkuasaan yang dijalankan terhadap aktiviti pencerobohan hutan simpan.
Difahamkan, skru ditemukan pada bahagian tayar kenderaan peguat kuasa selepas pasukan berkenaan selesai menjalankan tugas di kawasan terbabit.
Jika benar perbuatan itu disengajakan, ia bukan sahaja boleh menjejaskan keselamatan anggota penguat kuasa, malah menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pasukan ketika menjalankan operasi di kawasan berkenaan.
Insiden itu berlaku susulan operasi bersepadu UPNP bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera.
Polis sebelum ini mengesahkan lima individu terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita ditahan kerana dipercayai menghalang penguat kuasa menjalankan tugas ketika operasi berkenaan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Terdahulu, sekumpulan individu didakwa mendirikan halangan dan membuat provokasi terhadap pasukan penguat kuasa dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Namun, dakwaan kenderaan petugas disabotaj dengan skru selepas operasi membuka satu lagi persoalan siapa yang memasang skru berkenaan serta motif perbuatan tersebut.
Perkara itu wajar disiasat secara menyeluruh termasuk menentukan sama ada ia perbuatan sengaja atau kejadian yang berlaku atas faktor lain.
Lebih-lebih lagi operasi terbabit dilaksanakan bagi penguatkuasaan di kawasan hutan simpan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
Tindakan sedemikian jika terbukti disengajakan boleh mengundang risiko kepada anggota yang menggunakan kenderaan terbabit khususnya ketika bergerak keluar dari kawasan operasi.
Dalam masa sama, tumpuan kini bukan sahaja kepada penahanan lima individu berkenaan, tetapi turut terarah kepada persoalan lebih besar mengenai penerokaan kawasan hutan simpan.
Tinjauan sebelum ini turut menemukan dakwaan kewujudan kawasan tanaman kelapa sawit serta bangunan kekal dipercayai rumah burung walit dalam kawasan yang didakwa berada dalam hutan simpan.
Justeru, siasatan terhadap insiden sabotaj itu perlu berjalan seiring dengan siasatan mengenai penerokaan tanah supaya segala persoalan berkaitan operasi di Tasik Bera dapat dijawab berdasarkan bukti.
Jika benar ada pihak cuba mengganggu atau mengugut operasi penguatkuasaan, apakah kepentingan yang mahu dilindungi di sebalik tindakan tersebut?
Persoalan itu kini menanti jawapan pihak berkuasa, namun difahamkan pihaknya mula memasuki kampung terlibat selepas notis diberikan pada Jun lalu.
Terdahulu, penduduk kampung mula menerima Notis Pemberitahuan dan notis amaran selaras dengan Seksyen 81(1) Akta Perhutanan Negara 1984, yang memperuntukkan kesalahan berkaitan pencerobohan dan aktiviti tidak dibenarkan di kawasan hutan simpanan kekal pada 25 Jun lalu.
Berdasarkan notis pemberitahuan yang dikeluarkan pihak berkuasa, larangan itu meliputi perbuatan memasuki kawasan hutan simpanan kekal, melepaskan ternakan, menebang pokok, menceroboh, mendirikan bangunan, memotong, membersihkan atau membajak tanah serta memindah, merosakkan atau memusnahkan apa-apa benda dalam kawasan berkenaan.
Tindakan turut boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti berkenaan tanpa kebenaran, termasuk terhadap barangan atau peralatan yang ditanda untuk tujuan penyitaan.
Manakala individu yang didapati menceroboh kawasan Hutan Simpanan Kekal diingatkan supaya segera mengeluarkan segala harta benda milik mereka dan mengosongkan kawasan berkenaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
Selain itu Notis Amaran bertarikh 25 Jun 2026 itu dikeluarkan atas arahan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang Darul Makmur selepas individu terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 81(g), Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985, iaitu menceroboh kawasan hutan simpanan kekal dengan apa jua cara.
Menurut notis berkenaan, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, pihak Jabatan Perhutanan memberi tempoh 14 hari kepada individu terbabit untuk mengeluarkan harta benda milik mereka serta mengosongkan kawasan Hutan Simpanan Kekal berkenaan.
Notis itu turut memberi amaran bahawa tindakan selanjutnya akan diambil oleh jabatan itu sekiranya arahan tersebut gagal dipatuhi dalam tempoh yang ditetapkan.
Tindakan berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan bagi memastikan kawasan Hutan Simpanan Kekal tidak diceroboh atau digunakan tanpa kebenaran. – MalaysiaGazette
















