KUALA LUMPUR – Polis menerima laporan berhubung kes simbah cat merah pada sebuah kedai serbaneka, KK Mart di dalam kampus Universiti Malaya (UM), pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, laporan dibuat oleh Polis Bantuan di kampus itu sekitar jam 8 pagi tadi.
“Pengadu menyedari kejadian itu berlaku sekitar jam 12.50 tengah malam tadi selepas dimaklumkan pekerja kedai serbaneka itu berhubung kesan cat berwarna merah di hadapan pintu kedai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu Ku Mashariman berkata, pihaknya sedang menjalan siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mengecam kejadian insiden itu dan menggesa pihak pentadbiran universiti menyiasat kejadian tersebut.
Presiden Umany, Lim Jing Jet berkata, masih belum jelas sama ada kejadian itu berkaitan dengan kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ baru-baru ini, dan mengutuk tindakan itu sebagai tindakan keterlaluan.
“Walaupun masih tidak jelas sama ada perbuatan vandalisme ini berkait dengan kontroversi itu, sekiranya ada pihak ingin memprotes KK Mart, tindakan ekstrem sebegini bukanlah cara wajar untuk menyuarakan pendapat.
“Vandalisme mungkin kelihatan seperti kesalahan kecil, namun ia masih boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan merosakkan harta,” ujarnya.
Tambah Jing Jet, insiden itu boleh menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan di kampus dan menggesa pihak universiti mengambil langkah untuk meningkatkan keselamatan.
Katanya, ia termasuk memasang lebih banyak kamera pemantauan serta meningkatkan rondaan keselamatan disekeliling kampus terbabit. – MalaysiaGazette