KUALA LUMPUR – Bekas ahli kumpulan lawak Shiro, Shahrol Azizie Azmi membuat laporan polis berhubung lawak ‘ham’ yang dimuat naik pelawak dan juga pelakon Harith Iskander.
Beliau yang dikenali sebagai Shahrol Shiro menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan kerana status Harith yang didakwa menghina agama Islam.
Dalam laporan polis yang dibuat, Shahrol Shiro turut menggesa polis menyiasat individu yang menggunakan akaun sosial bernama Cecella Yap Song KL yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
“Harith Iskander & Cecelia Yap, demi agamaku repot polis ON,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Harith Iskandar dalam hantaran pada 18 Januari lalu membuat jenaka menggunakan topik ham baru-baru ini mengundang kecaman netizen terutamanya dalam kalangan umat Islam.
Bersama hantaran itu, Harith turut memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan ham sap kopi berharga RM5.50.
Gambar itu dipercayai diambil dari gambar senarai menu kopi yang dijual premis rangkaian jualan minuman kopi tempatan yang berniaga menggunakan trak makanan.
“Saya begitu keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara”.
“Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi hamsap, tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan ‘ham’ di dalamnya. Ini untuk diminum atau dimakan?
“Saya mesti buat laporan polis kerana saya terlalu lemah sehingga hilang semua kemampuan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?”, tulisnya dalam hantaran itu yang disudahi emoji wajah tertawa hingga keluar air mata.
Hantaran tersebut menerima hampir 10,000 reaksi dengan 4,500 menggunakan emoji ketawa dan 3,300 lagi emoji marah.
Kandungan yang dimuat naik itu juga menerima 8,700 komen dengan rata-rata mengecam perkongsian yang dibuat Harith dengan mendakwa bahan yang dikongsi tidak lawak.-MalaysiaGazette