GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan penebusan baucar Buku Madani secara dalam talian sepenuhnya bagi mengelakkan isu ketirisan yang pernah berlaku sebelum ini,” kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Jelas beliau, menerusi sistem ini pelajar boleh menebus baucar mereka melalui pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia’ (DELIMa) dan buku yang dibeli akan dihantar terus ke alamat pelajar.
“Berkenaan dengan pemberian baucar Buku Madani kali ini kita buat penebusan 100 peratus secara online (dalam talian).
“Dulu mungkin ada isu ketirisan iaitu sebelum 2018 penerima pergi ke kedai buku hanya buat pembelian RM30 manakala baki RM70 diambil semula.
“Jadi kita tahu di sini timbul isu ketirisan sebab itu KPM ambil langkah lakukan penebusan baucar secara dalam talian sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Batu Lanchang di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penyerahan ‘Smart Board’ yang disumbangkan pihak swasta kepada 13 sekolah dalam daerah Timur Laut membabitkan jumlah bernilai RM221,000.
Mengulas lanjut Kah Woh berkata, pihaknya juga yakin penebusan baucar Buku Madani secara dalam talian ini juga dapat memberi manfaat kepada penulis, penerbit serta pengusaha buku sekali gus mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih efisien.
“Langkah ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada pelajar untuk mendapatkan bahan bacaan, malah turut membantu mencungkil minat membaca dalam kalangan generasi muda.
“KPM berharap inisiatif ini akan menjadi langkah positif dalam memperkukuh budaya membaca serta mencegah sebarang ketirisan yang pernah berlaku pada masa lalu,” katanya. – MalaysiaGazette