KUALA LUMPUR – Seramai 4.82 juta pelancong muslim memasuki negara ini sehingga November 2024 dengan sumbangan pendapatan melebihi RM15 bilion.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 4.5 juta pelancong muslim dengan jumlah pendapatan RM14.7 bilion.
Ujar beliau, ia mewakili lebih 20 peratus penglibatan dalam industri pelancongan negara.
“Bahkan, pengiktirafan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka oleh Global Muslim Travel Index (GMTI) membuktikan keunggulan kita dalam segmen ini,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian IslamiCruise Malaysia-Saudia.
Menurut Ahmad Zahid, lima negara Islam yang menyumbang ketibaan pelancong ke Malaysia adalah Indonesia, Brunei, Pakistan, Arab Saudi dan Kazakhstan pada tahun lalu.
“Ini mencerminkan potensi besar yang kita ada untuk menarik lebih ramai pelancong melalui kerjasama strategik,” tambahnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, unjuran pasaran pelancongan muslim dijangka meningkat sebanyak 1.2 peratus setiap tahun.
Katanya, jangkaan positif tersebut akan meletakkan Malaysia dalam posisi yang baik untuk menguasai sebahagian besar pasaran ini menjelang 2028.
Sementara itu, Pengasas IslamiCruise International, Suhaimi Abd Ghafer menjangkakan 70 peratus daripada 6,000 penumpang syarikatnya adalah pelancong asing.
“Sebagai pemain industri pelancongan Islamik di Malaysia dan dunia, kami yakin yang keunikan dan keistimewaan kami akan mampu memasarkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra-Muslim kepada pelancong-pelancong dari Arab Saudi dan negara-negara Timur Tengah, serta pelancong-pelancong dari Eropah dan Asia Tenggara,” katanya. – MalaysiaGazette