Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menggesa kerajaan untuk meneruskan dasar pemberian tol percuma sempena perayaan, khususnya pada Tahun Baharu Cina minggu hadapan.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, langkah ini penting bagi membolehkan rakyat pulang ke kampung halaman meraikan perayaan serta menikmati cuti panjang.

“Selagi pendekatan bersasar yang disebut itu belum diumumkan, kerajaan seharusnya mengekalkan amalan sedia ada dengan meneruskan dasar pemberian tol percuma sempena perayaan.

“Dalam tempoh setahun yang lalu, kerajaan telah berjaya menjimatkan banyak dana melalui pelaksanaan subsidi diesel bersasar dan pemotongan pelbagai subsidi lain.

“Oleh itu, adalah wajar untuk memberi manfaat ini kepada rakyat ketika mereka menyambut perayaan dan meneruskan tradisi pemberian tol percuma yang telah dilaksanakan selama ini,” katanya dalam kenyataan media.

Mengulas lanjut Tong Keong berkata, dalam dua tahun kebelakangan ini, kerajaan telah memberikan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sempena perayaan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

“Jadi pemberian tol percuma untuk rakyat di Semenanjung juga wajar diteruskan sebagai satu bentuk subsidi pengangkutan sempena perayaan.

“Malah, penghapusan tol lebuh raya adalah antara janji utama Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum namun sehingga kini janji tersebut masih gagal ditunaikan dan pemberian tol percuma sempena perayaan pula ingin dihentikan.

“Sehubungan itu, kita menyeru agar kerajaan segera membuat keputusan dan pengumuman mengenai pengecualian tol sempena Tahun Baharu Cina, bagi membolehkan rakyat merancang perjalanan pulang ke kampung dengan lancar dan teratur,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Tiada lagi tol percuma musim perayaan – Alexander

Semalam Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kerajaan telah memutuskan 2024 akan menjadi tahun terakhir pemberian tol percuma semasa perayaan.

Keputusan ini diikuti dengan rancangan untuk menggantikannya dengan pendekatan yang lebih bersasar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here