Seorang pekerja kedai sedang mengemas kelapa di kedainya ketika tinjauan kekurangan bekalan buah kelapa di Selayang, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 21 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Harga kelapa dan santan di negara ini dijangka meningkat pada bulan Ramadan disebabkan bekalan di pasaran tidak menentu serta penetapan harga oleh pembekal.

Peniaga kelapa dan santan, Johari Mamat, 62, berkata, ketika ini harga bahan mentah itu meningkat lebih 50 peratus iaitu RM2.80 sebiji berbanding RM1.80 sejak bulan September tahun lalu.

Pemilik kedai Santan Sari di Pasar Selayang ini berkata, 20 tahun lalu kelapa tempatan mudah diperoleh dan harga yang dijual  pembekal hanya RM0.60 sebiji jika dibandingkan pada tahun ini.

Beliau yang sudah berniaga lebih 18 tahun berkata, buat masa ini dia memperoleh bekalan hampir setiap hari tetapi dengan kuantiti yang kecil berbanding sebelumnya dan dihantar oleh pembekal dua minggu sekali.

“Sebenarnya, bekalan kelapa mula berkurangan sejak tiga bulan lalu dan kebanyakan yang ada diimport dari Indonesia.

“Disebabkan itu, pembekal menaikkan harga kelapa atas faktor kos penghantaran dari negara jiran,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, Johari berkata, mengikut pengalamannya, pelanggan lebih suka kelapa tempatan yang ditanam di Bagan Datuk, Sabak Bernam dan sekitarnya kerana berkualiti, segar, muda, lemak dan kepekatan santan yang dihasilkan.

“Kalau kelapa Indonesia pula, kualitinya kurang, isinya nipis, tua serta keras kerana tempoh dari petik hingga dihantar ke kedai mengambil masa seminggu dan dibiar berjemur,” tambahnya.

Johari Mamat  Foto HARI ANGGARA, 21 JANUARI 2025.

Katanya, jika kekurangan bekalan ini tidak ditangani, menjelang Ramadan dan perayaan akan datang akan memberi kesan kepada para pengguna.

“Peniaga seperti saya cuba pastikan bekalan kelapa dan santan tidak terputus tapi harga dijangka meningkat sekiranya bekalan tidak cukup kerana pembekal yang tetapkan harga.

“Kalau lihat ketika ini harga santan segar juga sudah meningkat kepada RM6 sekilogram berbanding sebelum ini RM5 sahaja, manakala santan biasa, RM14 sekilogram,” ujarnya.

Pemilik kedai makan, Nursyafiqa Mohd Sahrie, sedang mengemas kuih-muih yang berasaskan kelapa di gerainya ketika tinjauan kekurangan bekalan buah kelapa di Selayang, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 21 JANUARI 2025.

Peniaga nasi lemak, Nursyafiqa Mohd Sahrie,32, mengakui dia terkesan dengan kenaikan harga kelapa dan santan ketika ini namun masih mengekalkan jualannya RM2.50 sebungkus.

“Saya berniaga kecil-kecilan di kawasan perumahan sahaja, jadi kebanyakan pembeli adalah mereka di sekitar kawasan Taman Selayang ini dan memang masih kekalkan harga begitu.

“Memang susah nak dapatkan santan tapi nasib ada pembekal sendiri. Tapi saya terasa bila harga naik sebanyak RM1 iaitu RM14 per kilogram.

“Pada masa sama, kelapa parut pun sukar dicari dan sukar bagi saya kerana menjual  gula melaka dan kuih kasuwi. Disebabkan itu saya terpaksa kurangkan kuantiti jualan,” jelasnya.

Pemilik gerai minuman, Adham Muhammad Sharif, sedang mengopek buah kelapa muda untuk menyediakan air kelapa muda yang dipesan pelanggan di gerainya ketika tinjauan kekurangan bekalan buah kelapa di Selayang, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 21 JANUARI 2025.

Sementara itu, peniaga air kelapa muda, Adham Muhammad Sharif, 71, turut terkesan dengan harga kelapa yang semakin meningkat berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Ikutkan kekurangan bekalan kelapa ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021 lagi, sebab ramai cari kelapa bukan sahaja untuk masak tapi untuk minuman.

“Saya ambil bekalan dari Bagan Datuk, Sabak Bernam, Kuala Selangor dengan harga RM3 sebiji dan jual dalam RM5 hingga RM6 satu jag.

“Harga jualan ini mengikut harga yang ditetapkan pembekal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here