Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap semasa forum di Asia International Security Sunmmit and Expo 2025 (AiSSE 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 22 JANUARI 2025.

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri yang bermesyuarat Jumaat ini akan membincangkan isu berbangkit susulan keputusan  menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan.

Menurut Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil, kerajaan sedia menerima pandangan daripada pelbagai pihak berhubung keputusan tersebut.

“Saya percaya mesyuarat akan membincangkan perkara ini dan kita tunggu apa hasil perbincangan di peringkat ini.

“Apa yang telah diumumkan oleh (Menteri Kerja Raya) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi adalah berdasarkan keputusan dasar yang telah dibuat sebelum ini tapi sudah pasti kerajaan akan menerima pandangan daripada pelbagai pihak dan mengkaji langkah yang tepat untuk kita ambil ke depan,” katanya ketika ditemui semasa Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE’25), di PICC.

Jelas beliau, isu kos sara hidup rakyat dan kesesakan lalu lintas merupakan dua aspek yang menjadi keutamaan kerajaan.

“Isu berkait dengan perjanjian konsesi yang telah ditandatangani sebelum ini dan kita harus hormati sebarang perjanjian yang telah dimeterai.

“Dalam  masa yang sama kerajaan sedang meneliti seperti yang disebut oleh Menteri Kerja Raya semalam langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengatasi masalah  yang dihadapi oleh rakyat sama ada dari segi  kos sara hidup mahupun dari segi kesesakan lalu lintas. Kedua-dua ini penting,” ujarnya.

Semalam Alexander berkata, kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan.

Katanya, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan syarikat konsesi tidak menanggung sebarang implikasi kewangan berikutan pengecualian tol pada musim perayaan kerana kos pemberian tol percuma dibayar oleh kerajaan.

Secara purata, kerajaan menanggung kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya menerusi pelaksanaan tol percuma.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here