Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. foto AIZAT ZAINAL, 06 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3%.

Menurutnya, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa tentang prospek inflasi dan pertumbuhan.

Jawatankuasa Dasar Monetari terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dan akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.

Bagi ekonomi Malaysia, pertumbuhan keseluruhan bagi tahun 2024 berada pada kadar yang dijangkakan.

Pada masa hadapan, kekukuhan kegiatan ekonomi dijangka berterusan pada tahun 2025, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan, tambahnya.

Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar, termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam, akan menyokong perbelanjaan isi rumah.

Aktiviti pelaburan yang mantap akan diteruskan oleh projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional.

Manakala pelaburan yang disokong oleh modal import yang lebih tinggi akan meningkatkan eksport dan mengembangkan keupayaan pengeluaran ekonomi.

Katanya, eksport dijangka disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global, pertumbuhan eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus meningkat dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.

Manakala prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan daripada kelembapan ekonomi rakan-rakan dagangan utama berikutan risiko sekatan perdagangan dan pelaburan yang ketara serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

Sementara itu, pertumbuhan mungkin menjadi lebih tinggi daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan projek pelaburan yang lebih pantas.

BNM menambah, inflasi tahun ini dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.

Harga komoditi global dijangka terus menunjukkan trend menurun, menyumbang kepada keadaan kos yang sederhana pada jangka masa terdekat.

Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang diumumkan baru-baru ini terhadap inflasi dijangka terkawal.

Risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri dan harga komoditi global serta perkembangan pasaran kewangan.

Sementara itu, prestasi ringgit terus didorong terutamanya oleh faktor luaran.

Perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara Malaysia dengan ekonomi-ekonomi maju adalah positif untuk ringgit.

Walaupun pasaran kewangan mungkin menghadapi tempoh volatiliti disebabkan oleh ketidakpastian dasar-dasar global, prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, berserta inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit.

Ekonomi global mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi daripada jangkaan pada tahun 2024 mencerminkan pertumbuhan sebenar yang lebih baik di ekonomi-ekonomi utama dan perdagangan global yang lebih kukuh.

Bagi tahun 2025, ekonomi global dijangka mampan dengan keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang terus sederhana dan dasar monetari yang kurang ketat.

Perdagangan global pula dijangka kekal mampan secara keseluruhan, disokong oleh peningkatan kitaran teknologi yang berterusan.

Walau bagaimanapun, prospek ini boleh dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung dengan sekatan perdagangan dan pelaburan yang lebih banyak.

Ketidakpastian dasar yang kekal tinggi juga boleh menyebabkan volatiliti pasaran kewangan global yang lebih ketara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here