PUTRAJAYA – Undang-undang di negara ini menetapkan penganjur mana-mana perhimpunan perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik tapak.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, beberapa himpunan yang diadakan oleh Pakatan Harapan sebelum ini, termasuklah di Padang Merbok juga memohon kebenaran daripada pemilik tapak premis.
“Kita kena lihat dari segi ketertiban dan pematuhan undang-undang. Saya ingat, ada banyak ketika di mana di Padang Merbok, ada mohon dan dapat kelulusan daripada penganjur.
“Ia ada banyak perkiraan seperti Datuk Seri Saifuddin sebut semua perkiraan ini diambil sebagai faktor sama ada meluluskan atau tidak. Tapi sekiranya seseorang atau mana-mana pihak ingin anjurkan perhimpunan waktu ini (undang-undang) menyatakan dengan jelas perlu mendapat kebenaran daripada pemilik tapak.
“Sekiranya pemilik tapak tidak membenarkan, maka ia melanggar undang-undang,” katanya ketika ditemui di Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE’25).
Beliau berkata demikian ketika mengulas pertikaian yang disuarakan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengenai penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah Sabtu ini.
Sehubungan itu, Fahmi menyeru semua rakyat tanpa mengira fahaman politik atau sebagainya untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penganjur himpunan tersebut perlu mendapatkan izin daripada pemilik premis Sogo dan Dataran Merdeka terlebih dahulu.
Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, permohonan penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah pada Sabtu ini, ditolak Polis Diraja Malaysia.
Kata beliau, semakan telah dibuat dan mendapati notis pemberitahuan himpunan itu tidak lengkap.
Sementara itu, Fahmi merangkap jurucakap kerajaan mencadangkan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan perkhidmatan khusus dalam jalur lebar 5G yang lebih selamat.
Ujarnya, ia boleh digunakan untuk pelbagai peringkat organisasi berkenaan termasuk bahagian penguatkuasaan.
“Ini adalah sesuatu yang sedang dibincangkan industri. Ia bermaksud jalur lebar berkenaan diperuntukkan untuk organisasi itu.
“(Bagi PDRM), ia tidak semestinya hanya untuk penguatkuasaan undang-undang. Ia juga boleh digunakan untuk mana-mana industri atau syarikat.
“Ia menyediakan bahagian yang selamat untuk agensi seperti PDRM, yang boleh direalisasikan,” katanya.
Terdahulu beliau menjadi panel pada forum “Mengukuhkan Masa Depan: Memanfaatkan Teknologi 5G untuk Memperkukuh Keselamatan Negara” sempena AISSE’25, hari ini.– MalaysiaGazette