KUALA LUMPUR – Sebuah bot kargo disyaki melanggar syarat membawa muatan petroleum ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau kira-kira jam 8.30 malam Isnin lalu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tindakan pantas pihak berkuasa berjaya mengesan bot tersebut di kedudukan 0.7 batu nautika selatan Jeti Kastam Tawau.
“Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan operasi OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS segera diatur gerak selepas menerima maklumat risikan.
“Bot tersebut dikesan membawa muatan petrol, diesel dan gas cecair petroleum (LPG) dari Perairan Tanjung Batu menuju ke Perairan Sebatik,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiga lelaki tempatan berusia antara 33 hingga 45 tahun berada di atas bot tersebut.
Jelasnya, mereka membawa kira-kira 10,600 liter petrol dan diesel yang disimpan dalam tong drum, bersama 411 tong gas LPG.
“Hasil pemeriksaan dokumen menunjukkan bot itu melanggar peraturan keselamatan semasa membawa produk petroleum dan LPG.
“Nilai rampasan termasuk bot kargo dianggarkan mencecah RM136,000,” ujarnya.
Tambahnya, bot kargo tersebut kini ditahan di Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952. – MalaysiaGazette