Lim Guan Eng

SEBERANG PERAI – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, partinya memilih untuk berdiam diri dalam pelbagai isu kerana mahu menjaga kepentingan keseluruhan selepas mengambil kira akibatnya.

Guan Eng berkata, dalam isu sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, DAP tidak “memijak garisan merah”, tetapi mahu menunjukkan kepada penyokong DAP bahawa pemimpin parti tidak menderhaka prinsip perjuangan asal.

Beliau berkata, berbanding dahulu apabila DAP lantang dalam isu-isu pendidikan Cina,  parti itu sebaliknya melakukan kerja secara lebih senyap pada masa ini.

Katanya, usaha DAP ternyata membawa hasil apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyampaikan peruntukan kepada 63 sekolah persendirian Cina melalui penyelarasan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

“Kadangkala, kami akan tampil menyatakan pendirian, seperti apabila menteri kami iaitu Nga Kor Ming dan Hannah Yeoh diserang.

“Kami juga akan bersuara apabila terdapat pemimpin yang langsung tidak menghormati DAP, malahan mengugut ahli parti,” katanya seperti dipetik China Press dalam satu program bersama veteran parti di Seberang Perai.

Guan Eng berkata, walaupun DAP lebih berdiam diri, tetapi ia tidak menandakan partinya takut.

“Semasa menjadi pembangkang, kami memimpin melalui kenyataan dan mulut.”

“Kini sebagai parti pemerintah, kami mengubah  nasib rakyat dan menambah baik kehidupan rakyat melalui tindakan,” katanya.

Dalam perkembangan politik berlainan, Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng berkata, era MCA tidak akan lenyap kerana parti itu akan terus mempertahankan kepentingan kaum Cina serta sentiasa belajar daripada kesilapan

Katanya dipetik Kwong Wah Yit Poh, MCA Pulau Pinang mahu BN bertanding secara solo dalam pertarungan politik akan datang dan membentuk pakatan selepas pilihan raya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here