SPRM hakim
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) berjaya mendapatkan kembali dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak AS$20 juta (lebih RM90 juta) yang melibatkan projek tenaga solar di Malaysia.

SPRM dalam kenyataannya berkata, wang itu diperoleh daripada Frank White Jr., seorang ahli perniagaan dan rakan kongsi firma pelaburan DuSable Capital Management LLC.

“White Jr. secara sukarela menyerahkan dana tersebut kepada DOJ setelah mengetahui ia berasal daripada sumber berkaitan dana 1MDB yang telah diselewengkan.

“Walaupun White Jr. pada awalnya tidak menyedari sumber dana itu, beliau mengambil langkah bertanggungjawab dengan memulangkannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut SPRM, sejumlah RM29.73 bilion dana 1MDB berjaya dipulihkan dan angka ini tidak termasuk tambahan RM90 juta yang diperoleh.

Jelasnya, usaha sedang giat dijalankan bagi mendapatkan semula aset yang diseleweng dari beberapa buah negara seperti Kuwait, Hong Kong, United Kingdom dan beberapa negara Eropah.

Terdahulu, FBI dan DOJ telah bersetuju memberi kerjasama sepenuhnya kepada Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam menyempurnakan siasatan terhadap kes berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here