KUALA LUMPUR – Seorang wanita telah membuat laporan polis berhubung gambar peribadinya yang disunting menjadi tidak senonoh dan dimuat naik ke aplikasi Tumblr sebelum dijual pada harga RM18 sekeping.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, laporan diterima sekitar jam 4.13 petang pada Isnin lalu.
“Mangsa melaporkan bahawa gambar tersebut telah dimanipulasi tanpa pengetahuannya dan digunakan untuk tujuan jualan oleh individu tidak dikenali.
“Kejadian ini bukan sahaja mencemarkan reputasi mangsa tetapi turut menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan privasi dalam dunia digital,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, wanita itu mendakwa gambarnya telah disunting dalam keadaan tidak berpakaian dan foto itu kemudian dimuat naik menerusi aplikasi Tumblr sebelum dijual di platform berkenaan.
“Satu kertas siasatan sudah dibuka di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang berkait dengan kesalahan mengedar bahan lucah,” ujarnya.
Jelasnya, siasatan sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti pelaku dan pihak yang terlibat dalam kes ini.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini agar tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222. – MalaysiaGazette