Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media berkenaan majlis pertukaran dokumen perjanjian inisiatif Kampung Digital Melaka Antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan kerajaan negeri Melaka di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 6 JANUARI 2025.

PUTRAJAYA – Organisasi media dari seluruh ASEAN akan dijemput pada Hari Wartawan Nasional (Hawana) tahun ini sebagai platform untuk menghimpun dan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama selain mengenal pasti cabaran terkini dalam industri tersebut.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pengamal media itu akan turut dipelawa untuk menyertai beberapa program sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.

“Saya harap sempena kepengerusian ASEAN, kita dapat kumpulkan rakan-rakan media dari seluruh ASEAN selain media rasmi dan syarikat-syarikat media yang lain untuk datang ke Kuala Lumpur.

“Ini supaya kita dapat mengetahui dan memahami cabaran yang dihadapi oleh rakan-rakan media dalam lingkungan ASEAN.

“Pada masa yang sama, perbincangan antara syarikat organisasi media ini, saya percaya akan dapat memberi hala tuju yang baik untuk industri secara keseluruhan,” katanya

Mengulas lanjut,  Fahmi mengakui industri media ketika ini berhadapan cabaran seperti perbelanjaan pengiklanan yang berkurangan gara-gara ssyarikat membelanjakan dana iklan mereka untuk digunakan di platform media sosial.

“(Selain itu) termasuk kebebasan media, etika kewartawanan dan berita palsu yang mungkin tersebar luas sehingga menjejaskan kredibiliti industri media dan syarikat media itu sendiri.

“Harapan saya sempena kepengerusian ASEAN, kita dapat kumpulkan (maklumat) dan perbincangan ini dapat kita teliti dan kita ikhtiarkan beberapa penyelesaian (buat industri media),” katanya.

Beliau berkata, segala maklumat hasil perbincangan dengan organisasi media tempatan dan ASEAN menerusi platform Hawana itu boleh disampaikan kepada menteri berkaitan di platform Menteri-Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Maklumat (AMRI) di Bandar Seri Begawan, Brunei pada Mei ini.

Sebelum ini, Fahmi mengumumkan Bernama dilantik sebagai Media Rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 manakala RTM dilantik sebagai penyiar rasmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here