Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan Bercakap pada sidang media berkenaan Jabatan Kerja Raya di Kompleks Ibu Pejabat, Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, Persiaran Jubli Perak, Seksyen 17, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 23 JANUARI 2025.

SHAH ALAM – Keputusan Kabinet berhubung langkah menghentikan pemberian tol percuma sempena perayaan masih boleh berubah bergantung kepada keputusan Kabinet esok.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan, pengumuman yang dibuat Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam adalah berdasarkan keputusan Kabinet tahun lepas.

“Apa yang diumumkan oleh menteri (Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) ialah keputusan Kabinet tahun lepas,

“Adakah keputusan Kabinet itu boleh berubah? Boleh.

“Pada mesyuarat Kabinet esok yang mana ia merupakan mesyurarat terakhir sebelum perayaan Tahun Baharu Cina, perkara ini boleh dibincang dan disemak semula.

“Kita tunggu apa keputusan (mesyuarat Jemaah Menteri), jika ada perubahan, ia akan diumumkan Menteri Kerja Raya, esok,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor hari ini.

Menurut beliau, kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi tol sebanyak RM19 juta hingga RM20 juta sehari, setiap kali tol percuma diberikan sempena musim perayaan.

Setiap tahun, terdapat lapan hari tol percuma diberikan yang meliputi empat sambutan perayaan.

Semalam, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak bercadang untuk memberikan tol secara percuma menjelang musim perayaan termasuk Tahun Baharu Cina, bermula tahun ini.

Langkah itu dibuat berpandukan kepada keputusan yang dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet, tahun lalu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here