SHAH ALAM – Kementerian Kerja Raya (KKR) mensasarkan sifar projek sakit di seluruh negara pada tahun ini, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 3 peragus bersamaan 16 projek sakit di seluruh negara.
Ahmad berkata, di Selangor hanya satu sahaja projek dikategorikan sebagai sakit iaitu Klinik Kesihatan Timah Langat, Sepang.
“Kita kategorikan sesuatu projek itu sebagai sakit jika ia terlewat 20 peratus atau dua bulan dari tarikh yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Lawatan Kerja ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, hari ini.
Jelas Ahmad, sebanyak 20 projek persekutuan iaitu pembinaan baharu di bawah kendalian JKR Selangor pada tahun ini kos RM223.73 juta.
Selain itu, sebanyak tujuh projek penyelenggaraan bangunan melibatkan kos bernilai RM28.97 juta.
“Kini semua 27 projek ini berada di peringkat pra kontrak,” katanya.
Dalam masa yang sama katanya, 49 projek besar dengan nilai RM1.097 dalam pembinaan di bawah jabatan negeri tersebut.
Sementara itu, Ahmad memaklumkan pembinaan infra kesan daripada banjir di negeri-negeri yang terkesan pada tahun ini sudah bermula.
“Bermula bulan Januari dan Febuari ia ada peruntukan. Angkanya telah dimaklumkan sebelum ini. Jumlah itu tidak termasuk banjir tahun ini,” ujarnya.
Disember tahun lalu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kos pembaikan jalan dan cerun di seluruh negara akibat banjir gelombang pertama mencecah RM312.1 juta.-MalaysiaGazette