KPDN menyita sebanyak 205 tong gas petroleum cecair (LPG) melibatkan 2700kg yang melebihi had di sebuah premis runcit

KUALA LUMPUR – Sebanyak 205 tong gas petroleum cecair (LPG) melibatkan 2700kg telah disita oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dari sebuah premis runcit di Taman Sri Rampai di sini sekitar jam 1.00 tengah hari pada Selasa lalu.

KPDN dalam kenyataannya berkata, premis tersebut didapati melanggar syarat lesen dengan menyimpan LPG melebihi had yang dibenarkan.

“Sitaan dilakukan selepas KPDN menerima maklumat risikan daripada PDRM mengenai operasi mencurigakan di lokasi berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati pemegang lesen runcit tersebut melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan dianggarkan RM23,930,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut KPDN, pemeriksaan lanjut mendapati lesen perniagaan LPG premis itu masih sah sehingga 25 Oktober 2025.

Jelasnya, pemegang lesen ini mempunyai rekod kesalahan sejak 2018 dan kesemua rekod tersebut kini dalam penelitian untuk tindakan lanjut termasuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Menurutnya, individu atau syarikat yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan denda hingga RM5 juta bagi pertubuhan perbadanan atau RM3 juta serta penjara lima tahun bagi individu sekiranya sabit kesalahan berulang.

“Operasi ini adalah sebahagian daripada Task Force OPS TIRIS 3.0, usaha bersepadu antara KPDN dan PDRM untuk menangani ketirisan barang kawalan.

“Pasukan ini telah berfungsi sejak 2023 dengan penekanan kepada kolaborasi strategik bagi membanteras sindiket penyelewengan barangan bersubsidi,” ujarnya.

Menurut SPRM, tindakan ini selaras dengan inisiatif kerajaan melalui Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) yang dilancarkan oleh Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, pada Oktober 2024.

Kempen ini juga bertujuan menangani manipulasi serta ketirisan dalam pengurusan barang kawalan dan bersubsidi.

Tambahnya, orang awam digesa melaporkan sebarang penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi KPDN seperti portal e-aduan, talian bebas tol 1-800-886-800, atau aplikasi Ez ADU KPDN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here