Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing maut akibat cedera parah dalam kebakaran sebuah kilang penyimpanan gas di Kawasan Perindustrian Sungai Puloh, Aman Perdana, Klang, Selangor kira-kira jam 12.35 tengah malam pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Vijaya Rao Samachulu berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tong gas LPG yang disimpan di perkarangan kilang tersebut.

“Terdapat kerosakan besar pada kilang berkenaan serta premis berdekatan.

“Anggaran kerugian akibat kejadian itu melebihi RM5 juta dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Unit Forensik Bomba,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kejadian berlaku ketika enam lelaki berada di dalam kilang tersebut dan tiga daripada mereka terselamat tanpa kecederaan, sementara tiga lagi dihantar ke hospital akibat kecederaan serius.

Jelasnya, dua mangsa kini dirawat di Hospital Klang, manakala seorang lagi di Hospital Shah Alam.

Bagaimanapun, salah seorang mangsa yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, disahkan meninggal dunia pada hari yang sama jam 6.32 petang.

“Kematian disahkan oleh doktor akibat kecederaan melecur tahap kedua dan ketiga pada 95% tubuh akibat letupan gas.

“Siasatan pihak berkuasa kini tertumpu kepada punca sebenar kejadian dan pematuhan aspek keselamatan kilang terbabit,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here