Maqis merampas 2,241 kotak bahgian tongkeng ayam yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Iskandar Puteri, Jumaat lalu

JOHOR BAHRU – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 2,241 kotak bahagian ayam ‘Chicken Bishop Nose’ atau tongkeng ayam yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, di sini Jumaat lalu.

Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) berjaya menahan sebuah lori yang berdaftar di Malaysia membawa muatan itu dari Singapura pada pukul 8 malam.

“Hasil pemeriksaan bersama yang dijalankan oleh Pegawai Kastam dan Pegawai Penguatkuasa Maqis menemukan 29,113 kilogram bahagian ayam itu yang dianggarkan bernilai RM340,856.10 cuba dibawa masuk tanpa permit import Maqis di laluan lori masuk.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah mendapati kesemua bahagian ayam tersebut juga dibawa masuk tanpa sijil kesihatan veterinar dan sijil pengesahan halal.

“Pemandu berusia 42 tahun, ditahan dan diambil keterangan sebelum dilepaskan. Siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Edie Putra, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

“Pihak Maqis sentiasa menjalankan penguatkuasaan undang-undang yang diperluaskan di semua pintu masuk negara.

“Ia bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian agar tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro-organisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here