KUALA LUMPUR – Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) menganjurkan Program Pengayaan Habitat Harimau Malaya di Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC), di Lanchang, Pahang, pada Selasa lalu.

Program dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Fakhrul Hatta Musa; Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud dan pegawai-pegawai kanan Bahagian Industri Sago dan Sawit (BISS) KPK.

Program Pengayaan Habitat itu melibatkan aktiviti penanaman 95 batang pokok pelbagai spesies antaranya Jelutong, Pulai, Meranti Tembaga dan Tembusu yang merupakan langkah penting untuk memastikan kurungan harimau di MTCC berada dalam keadaan kondusif seperti habitat semula jadinya.

Program berkenaan bertujuan meningkatkan keberkesanan proses rehabilitasi dan peliaran semula harimau serta mempersiapkan haiwan untuk kembali ke habitat asal dengan lebih berdaya tahan.

Inisiatif Program Pengayaan Habitat Harimau Malaya ini adalah sebahagian daripada Program Konservasi Harimau Malaya yang bertujuan memulihara dan meningkatkan populasi spesies ini secara ex-situ.

Sehingga kini, MPOGCF telah membelanjakan sebanyak RM1.7 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM3.18 juta untuk tempoh lima tahun (2021 hingga 2026).

Dana berkenaan melibatkan pelbagai usaha konservasi Harimau Malaya antaranya pembiayaan makanan dan ubatan, penyelidikan dan juga program pembangunan kapasiti yang bertujuan meningkatkan modal insan dalam kalangan petugas di pusat konservasi.

Program Konservasi Harimau Malaya itu menjadi bukti komitmen industri sawit Malaysia dalam menyokong pemuliharaan alam sekitar dan konservasi biodiversiti manakala, aktiviti penanaman pokok itu pula membantu memperkayakan lagi ekosistem di MTCC sekaligus, menjadikannya lebih lestari untuk jangka masa panjang. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here