KUALA LUMPUR – Pemuda PAS menyokong dan memberi komitmen penuh terhadap Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang dijadualkan berlangsung di ibu negara, Sabtu ini.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Nadzir Helmi berkata, perhimpunan itu dilihat sebagai platform penting bagi rakyat menyuarakan pandangan terhadap isu rasuah, selaras dengan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Kebebasan berhimpun secara aman adalah asas penting dalam sistem demokrasi dan hak ini tidak hanya melambangkan suara rakyat, malah menjadi alat semak dan imbang yang kritikal terhadap kerajaan semasa.
“Himpunan ini bukan sekadar ekspresi hak demokratik tetapi juga satu mekanisme untuk mengingatkan pihak berkuasa mengenai kepentingan integriti dan ketelusan dalam pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada pembangkang, yang bersama-sama rakyat menyeru ke arah Malaysia yang lebih cemerlang.
Jelasnya, beliau menekankan bahawa tindakan ini seiring dengan pendirian kerajaan yang sering menyatakan keterbukaan terhadap kritikan dan cadangan bagi kebaikan negara.
“Kerajaan perlu bersikap matang dan menghormati hak rakyat untuk berhimpun.
“Perhimpunan ini diharapkan dapat berlangsung dengan aman tanpa gangguan, sekaligus mencerminkan kematangan demokrasi di negara ini,” ujarnya.
Dalam kenyataannya, Nadzir turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk hadir dan menunjukkan solidariti dalam menolak rasuah.
Tambahnya, perhimpunan itu dianggap sebagai peluang bagi rakyat menyuarakan harapan untuk pentadbiran yang bersih dan telus. – MalaysiaGazette
asalkan boleh ditunggang…
matlamat menghalalkan cara
pihak berwajib perlu segera bertindak.
Rakyat Malaysia ingin hidup aman dan harmoni.