IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyambut baik pelaksanaan Pembangunan Bercampur Berkonsepkan Transit Oriented Development (TOD) Ipoh Sentral yang dilaksanakan melalui Kerjasama Awam Swasta (PPP) berhampiran dengan Stesen Keretapi Ipoh.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, justeru kerajaan negeri bersedia untuk menjadi pemudah cara bagi sebarang tujuan pembangunan di kawasan seluas 27.1 hektar.
Katanya, ia sama seperti mana usaha kepada pelaksanaan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), serta Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.
“Saya sudah maklumkan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan untuk ‘all out’ atau secara sepenuhnya (dengan memudahkan projek) sebaik mungkin, tanpa sebarang halangan.
“Bermula dengan fasa pertama, diikuti fasa kedua dan berikutnya, semua pihak terlibat diminta untuk menggunakan platform masing-masing bekerja sebagai satu pasukan dan menjayakan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Pembangunan Ipoh Sentral antara Ipoh Sentral Sdn Bhd (ISSB) dan Country Annexe Sdn Bhd (CASB), di sini, pada Khamis.
Majlis berkenaan itu disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Imran Salim yang mewakili CASB sementara ISSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Firdaus Effendy Mokhtar.
Ia turut disaksikan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; serta Pengerusi MRCB Land ,Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Terdahulu ketika berucap pada majlis Saarani berkata, projek itu menjadi simbol komitmen negeri ke arah menjadikan Ipoh sebagai bandar raya yang progresif dan berdaya tahan, sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Ujar beliau, pembangunan projek itu memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada transformasi Ipoh di samping warisan Stesen Keretapi Ipoh yang ikonik terus dipelihara.
“Projek Ipoh Sentral adalah bukti kepada perancangan bandar moden yang menjawab cabaran urbanisasi masa kini.
“Dengan integrasi hab pengangkutan dan pembangunan pelbagai guna, penduduk Ipoh akan menikmati kemudahan akses yang lebih baik, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, serta menyokong gaya hidup yang lebih lestari,” katanya.
Tambah beliau, daripada sudut ekonomi pula, pembangunan Ipoh Sentral dilihat akan bertindak sebagai pemangkin kepada pertumbuhan yang lebih pesat di Ipoh, melalui aktiviti komersial dan sebagainya.
Jelas Saarani, perusahaan kecil dan sederhana akan mendapat suntikan peluang baharu, sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi tempatan.
“Projek ini melambangkan komitmen utuh Kerajaan Perak untuk memastikan kesejahteraan rakyat tanpa mengorbankan tradisi dan identiti budaya yang menjadi kebanggaan kita semua.
“Keutamaan ini membuktikan bahawa pembangunan tidak hanya terhad kepada kemajuan fizikal, tetapi turut menitikberatkan elemen kemanusiaan dan nilai warisan yang membentuk jati diri masyarakat,” ujarnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerjasama swasta bangunkan Ipoh Sentral kurangkan beban kewangan kerajaan
Saarani zahir keprihatinan kepada rakyat melalui Belanjawan Perak 2025