KUALA LUMPUR – Pengguna yang mengambil produk gula-gula jenama Apple S digesa untuk berhenti daripada memakan produk menguruskan badan itu.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya berkata, pemantauan Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mendapati Apple S mengandungi sibutramine iaitu bahan terlarang dan tidak berdaftar.
“Bahan itu mendatangkan kesan sampingan seperti menggangu fungsi sistem jantung yang boleh menyebabkan degupan menjadi lebih laju walaupun dalam keadaan rehat.
“Kesan sampingan lain termasuk mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening dan senggugut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, produk itu tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, antaranya tiada nama sebenar produk dalam Bahasa Malaysia.
Jelasnya, produk itu juga tidak mempunyai maklumat mengenai pengilang, pembungkus, pengedar, atau pemilik hak pengilangan dan pengimport.
“Semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, orang ramai yang menggunakan produk terbabit disaran mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan. – MalaysiaGazette