KUALA LUMPUR – Kerajaan berharap syarikat tol akan melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memberikan potongan pungutan tol pada musim perayaan.
Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sementara mendapat keuntungan pada hari-hari biasa, syarikat konsesi lebuh raya diharapkan dapat memberi potongan tol sekurang-kurangnya 50 peratus semasa rakyat beraya.
Beliau percaya Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan berbincang dengan 32 syarikat konsesi lebuh raya berhubung perkara itu.
Katanya kepada China Press, selama ini kerajaan telah menanggung perbelanjaannya apabila tol percuma diumumkan pada musim perayaan.
Menurutnya, walaupun perjanjian konsesi tidak mewajibkan syarikat konsesi
memberi tol percuma, tetapi mereka wajar memberi penghargaan kepada rakyat semasa musim perayaan.
Ditanya sama ada akan terdapat perubahan mengenai “tiada tol percuma” semasa Tahun Baharu Cina akan datang, Kor Ming berkata, perkara itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Kami akan membangkitkan hal ini dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat dan meneliti sama ada terdapat mekanisme yang baharu,” katanya.