KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah di atas keputusan meluluskan cuti peristiwa sempena Hari Thaipusam pada 11 Februari ini.
Kelulusan ini dibuat selepas perbincangan dalam Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Presiden Mahima, Datuk Seri N Sivakumar berkata, keputusan ini menunjukkan penghormatan Kerajaan Negeri Kedah kepada masyarakat Hindu yang menyambut Thaipusam.
“Langkah ini juga mencerminkan komitmen kerajaan terhadap perpaduan serta keharmonian kaum di negeri tersebut.
“Cuti peristiwa ini amat bermakna kerana ia memberi kemudahan kepada penganut Hindu di Kedah untuk meraikan perayaan ini bersama keluarga dalam suasana yang tenang dan selesa,” katanya dalam kenyataan.
Ketika ini, Thaipusam diiktiraf sebagai cuti umum di beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Johor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang.
Kata Sivakumar yang juga Bendahari MIC, dengan pemberian cuti peristiwa itu, kerajaan negeri telah menunjukkan kepekaan dan penghormatan kepada prinsip Rukun Negara, khususnya rukun pertama, iaitu ‘Kepercayaan kepada Tuhan’.
“Saya cadangkan kepada kerajaan pertimbangkan untuk mengiktiraf Thaipusam sebagai cuti umum negeri. Ini penting memandangkan Kedah mempunyai populasi masyarakat India, khususnya penganut Hindu, yang signifikan.
“Saya yakin keputusan Menteri Besar Kedah dibuat berdasarkan undang-undang dan berharap agar cadangan ini dapat dibincangkan dalam persidangan majlis mesyuarat akan datang.
“Kelulusan ini akan lebih bermakna jika Thaipusam diangkat sebagai cuti am negeri kerana ia mencerminkan penghormatan yang lebih mendalam kepada komuniti Hindu,” ujarnya. -MalaysiaGazette