MENGHAYATI perjuangan Rasulullah S.A.W. dalam menyampaikan dakwah mendorang seorang wanita Orang Asli menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakatnya dengan membangunkan kelas agama dan fardu ain (KAFA).
Lebih dikenali dengan panggilan Ustazah Ruby, Rafiah Awang, merupakan pengasas Sekolah Rendah Agama Rakyat Orang Asli (SRAROA) Nurul Hikmah, Kampung Sungai Tonggang, Tanjung Rambutan, Ipoh.
Anak kelahiran Kampung Orang Asli Sungai Tonggang ini berhijrah keluar dari kampung halamannya seawal usia 15 tahun bagi mempelajari Islam dengan lebih dekat meskipun dilahirkan sebagai seorang muslim.
Menurut Ustazah Ruby, dia mengambil keputusan berhijrah ke Kelantan bagi mendalami agama Islam di Institut Dakwah Islamiah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) yang terletak di Pengkalan Chepa.
“Disitulah pendidikan awal saya selama empat tahun termasuklah menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Islamiah Dakwah sebelum menyambung pelajaran di Institut Pengajian Ilmu Islam di Bangi dalam bidang Psikologi.
“Tamat sahaja pengajian saya sempat mencari pengalaman di Kelantan dengan menjadi guru tadika dan guru qiraati untuk masyarakat Melayu di sana,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak.
Ustazah Ruby berkata, dia kemudiannya berkhidmat sebagai tenaga dakwah di salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum mengajar rakan-rakan mualaf yang lain di Perkim.
“Sepanjang pengajian saya di Kelantan, memang saya bercita-cita untuk membuka sebuah sekolah rendah agama sendiri setelah melihat perjuangan guru saya yang bersungguh-sungguh mendidik para mualaf mengenali Islam.
“Saya menyaksikan bagaimana kami diajar beramal menghayati Islam dengan cara hidup bahkan turut dididik berbakti kepada bangsa masing-masing apabila tamat dan pulang ke kampung halaman.
“Alhamdulillah berkat kesungguhan dan minat mendalam saya pulang ke kampung dan membuka kelas agama sendiri pada 2006 dengan mengajar secara percuma buat anak-anak Orang Asli,” katanya.
Ustazah Ruby berkata, dia kemudiannya mengambil inisiatif memohon bantuan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi membina sebuah bangunan sekolah untuk pelajarnya.
“Saya Bersama 10 Ahli Lembaga Sekolah Rendah Agama Rakyat Orang Asli Nurul Hikmah yang dilantik telah membuat kertas kerja untuk memohon bantuan mendirikan banggunan dan Alhamdulillah pada 2012 bangunan tersebut siap dan beroperasi hingga kini,” katanya.
Pulang mengajar anak-anak Orang Asli
Menceritakan perjalanan beliau mengajar agama di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang Ustazah Ruby berkata, dia memulakan kelas agama dengan memanggil kanak-kanak yang berminat mengikuti kelasnya secara percuma.
Beliau berkata, pada awal permulaan kelas diadakan di pelbagai lokasi seperti bawah pokok, tepi sungai, balai sewang malah juga bangunan surau lama yang sudah condong dan hampir roboh.
“Saya balik kampung ketika usia 20an dan panggil anak-anak kampung siapa yang berminat belajar agama boleh belajar dengan saya.
“Datanglah mereka dengan pakai seluar pendek, tidak berbaju dan belajar ala rimba di mana-mana sahaja dan ia berterusan lebih setahun sehingga saya berfikir kami perlukan tempat yang selesa,” katanya.
Katanya lagi, pada 2007 dia melihat iklan dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mencari guru KAFA dan tanpa berlengah masa dia terus mengemukakan permohonan.
“Alhamdulillah berkat temuduga saya diberi kepercayaan dan saya juga merupakan anak Orang Asli pertama dilantik sebagai guru KAFA.
“Masa temuduga mereka tanya kenapa saya memohon malah ingin mengajar di kampung sendiri, lalu saya katakan bahawa saya sudah ada anak murid sendiri dan mereka mahu turun melihat sendiri.
“Maka turunlah merea untuk dating membuat penaziran dan pemantauan dengan pelajar-pelajar saya datang ke kelas tidak berbaju dan tanpa ada bangunan selesa.
“Alhamdulilah mereka luluskan untuk daftar sekolah kami di bawah sekolah rendah agama rakyat Negeri Perak di bahagian Pendidikan JAIPk,” katanya.
Tempuh pelbagai dugaan, cabaran sebar syiar Islam
Berkongsi cabaran serta ujian yang dihadapinya dalam menyampaikan ajaran Islam, Ustazah Ruby berkata, segala yang dihadapinya dipermulaan berdakwah bukanlah mudah malah memerlukan kekuatan fizikal, mental dan rohani.
Katanya, apabila melibatkan perkara dunia dan akhirat yang mana Allah S.W.T. menjanjikan ganjaran pahala yang besar buat umatnya sudah pasti mereka akan diuji seiring dengan perjuangan yang dilaksanakan.
“Bila benda besar melibatkan dunia dan akhirat ini tentulah cabarannya seiring dengan perjuangan kita walaupun ia tidak sebenar apa yang nabi kita Rasulullah S.A.W. lakukan sebelum ini.
“Saya ambil cabaran ini sebab saya rasa kalau saya boleh berhjirah dari kampung dalam keadaan buta huruf, tidak tahu solat, soal aurat tapi berjaya memahaminya saya yakin masyarakat saya mesti boleh dengan usaha dan pendidikan berterusan,” katanya.
Menurut Guru Besar (SRAROA) Nurul Hikmah itu, tanpa pengalaman menguruskan sekolah agama dia berusaha sebaik mungkin memastikan segalanya dapat dilaksanakan demi memastikan anak bangsanya dapat mempelajari dan menghayati Islam dalam kehidupan seharian mereka.
“Hendak yakinkan ibu bapa pelajar ini bukan mudah sebab mereka tidak tahu subjek agama ini macam mana bentuk dia tapi saya ambil inisiatif mengadakan program dengan mereka dan memaklumkan tiada sebarang bayaran dikenakan.
“Cabaran dari segi kekangan dana juga menguji saya kerana kami menyediakan pendidikan percuma tetapi Alhamdulillah saya usaha mencari dana dan ada yang menyumbang untuk pakaian, buku teks, alat tulis dan minum petang pelajar,” katanya.
Terima pelbagai anugerah termasuk Tokoh Mualaf Negeri Perak 2023
Jihad berdakwah Ustazah Ruby kepada anak-anak Orang Asli Sungai Tonggang selama 20 tahun mendapat perhatian pelbagai pihak sehingga beliau dianugerahkan beberapa anugerah atas usaha murninya itu.
Beliau menerima Anugerah Guru Cemerlang KAFA dan Anugerah Murabbi pada 2017; Anugerah Tokoh Pendakwah (Etnik Orang Asli) pada 2019 dan Anugerah Tokoh Mualaf Negeri Perak pada 2023.
Berkongsi perasaannya, Ustazah Ruby berkata, anugerah bukanlah keutamaan yang dikejar sebaliknya keredhaan Allah S.W.T. dalam menyampaikan syiar Islam kepada anak bangsanya agar memahami serta mematuhi Islam.
“Sebagai umat Islam saya yakin bila Allah kata bekerja deminya dan Rasulullah dia akan menilai kerja kira dan segalanya akan dipermudahkan .
“Saya masih ingat bagaimana susah payahnya ketika dipermulaan dengan sekolah berada di pedalaman, jalan tidak masuk tidak elok, tiada kenderaan tumpang kereta orang dan kemudian naik bas untuk uruskan sekolah agama ini.
“Daripada tiada apa Alhamdulillah sekarang saya boleh bernafas dengan lega dan bila terima anugerah ia membakar semangat saya untuk terus berjuang membantu anak-anak Orang Asli Sungai Tonggang,” katanya.
Ustazah Ruby turut menzahirkan rasa terima kasih kepada keluarga dan masyarakat Orang Asli Sungai Tonggang, Bahagian Pendidikan JAIPk, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk), JAKOA dan mereka yang menjadi penyumbang kepada usahanya itu.
“Saya sendiri tidak mampu melaksanakan semua ini tanpa sokongan daripada semua pihak dan Alhamdulillah dengan sokongan mereka saya peroleh kekuatan meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa saya,” katanya.
Ditanya mengenai harapannya, Ustazah Ruby berkata, dia mengharapkan agar komuniti Orang Asli di Malaysia yang memeluk Islam dapat mengikut jejak langkahnya dalam berjihad menyampaikan Islam kepada masyarakat mereka.
Jelas beliau, selain mengejar kejayaan duniawi seperti memegang jawatan dalam kerajaan mereka tidak lupa terus mendalami Islam supaya berjaya di dunia adan akhirat.
“Harapan saya juga kalau boleh sekolah agama rakyat untuk Orang Asli bukan hanya di Sungai Tonggang sahaja tetapi juga di setiap negeri di mana adanya perkampungan Orang Asli.
“Ini kerana masyarakat Orang Asli masih lagi malu dan mereka lebih selesa sekiranya ada dalam kalangan bangsa mereka sendiri yang mengajar mereka selain mudah untuk berkomunikasi,” katanya.
Katanya lagi, dia berharap agar usahanya juga dapat diteruskan anak-anak Orang Asli yang lain supaya mereka dapat mempraktikan Islam dengan lebih baik. -MG Perak
ARTIKEL BERKAITAN:
Memartabatkan Islam seiring pembangunan negeri Perak
Sultan Perak sebak kongsi kisah sami Buddha pertahan nyawa umat Islam
Ustazah Ruby cekal beri didikan agama kepada murid Orang Asli
Ustazah Ruby cekal beri didikan agama kepada murid Orang Asli