Dominic pada sesi temu bual khas bersama media, di Ibu Pejabat Parti Gerakan, di Menara PGRM, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) didakwa sudah hilang fokus dan hala tuju sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dibentuk untuk memberi teguran terhadap kerajaan berhubung sesuatu isu yang menekan rakyat.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, tiada lagi kedengaran suara gabungan itu sebagaimana mereka agresif ketika negara ditadbir Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Melihatkan situasi ini, Dominic mendakwa, agenda gabungan berkenaan berkemungkinan hanyalah sekadar mahu menjatuhkan BN sebagai sebuah kerajaan pusat.

“Dulu BERSIH aktif, ada BERSIH satu, ada BERSIH dua, BERSIH tiga, BERSIH empat, BERSIH lima pada 2016.

“Tapi, selepas itu saya tak nampak pergerakan BERSIH tak ada lagi…perhimpunan yang (disertai) ratusan ribu rakyat dianjurkan BERSIH tak ada lagi, tak nampak.

“Apabila kita tak nampak mereka maksud apa. Adakah sekarang pilihan raya sudah bersih? Sudah adil? Sudah boleh diterima oleh semua masyarakat Malaysia,” katanya pada sesi temu bual khas bersama media, di sini, hari ini.

Menurut Dominic lagi, kali terakhir beliau melihat BERSIH bersuara iaitu ketika berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) tahun lepas apabila seorang menteri mengumumkan peruntukan disalur ke kawasan pilihan raya yang dianggap sebagai satu kesalahan dalam berkempen.

Bagaimanapun katanya, kini BERSIH tidak lagi bersuara dalam apa jua perkara dan gabungan itu seolah-olah tiada apa-apa lagi perjuangan.

“Jika BN masih lagi menjadi kerajaan, BERSIH pun sudah keluarlah (berhimpun), tak payah cakap pun sudah keluar…tapi mana mereka? ujar beliau sambil melahirkan rasa hairan terhadap gabungan berkenaan yang seolah-olah bersetuju dengan apa sahaja yang dilakukan kerajaan ketika ini.

Ditanya, sama ada BERSIH perlu kembali kepada peranan asal penubuhannya, Dominic berkata, ia sangat perlu dan wajar kerana

“Mestilah, itu adalah misi BERSIH. Mengapa BERSIH ditubuhkan, kerana nak ada satu pilihan raya yang adil, saksama yang bersih

“Tapi sekarang jika BERSIH tak adil dan tak saksama mereka hilang suara. Adakah perhimpunan yang akan diadakan esok BESIH akan bersama-sama? Soal beliau sambil merujuk Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah yang dirancang diadakan di hadapan pusat beli belah, Sogo di ibu negara esok. – MaLaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here