Gambar hiasan

Setiap kali menjelangnya bulan Rejab dan Syaaban, setiap kali itu berkumandang polemik sehingga mencetuskan ‘perang’ media dan beraneka persepsi mengenai keistimewaan dan kelebihan setiap amal ibadat di bulan tersebut.

Wujud pandangan yang meyakini bahawa setiap amal ibadat di bulan mulia ini menjanjikan ganjaran pahala terbesar dan anugerah syurga terpuji sehingga mendorong setiap individu Muslim berlumba-lumba meraih pahala.

Pun begitu, terdapat segelintir Muslim yang menolak, menafikan bahkan mengharamkan amalan dan keberkatan bulan tersebut.

Sekalipun, Rasulullah SAW menegaskan bahawa Rejab merupakan salah satu bulan haram yang membawa maksud bulan suci dan mulia, namun ianya tidak mengurangkan perspektif tersebut dan semakin membarah.

Pertikaian antara yang absah dan palsu berkaitan bulan Rejab yang semakin memasuki pertengahan bulan ini semakin tersebar sehingga yang absah dikategorikan sebagai salah dan yang palsu sebagai sahih.

Kewujudan persepsi yang berbeza ini telah menatijahkan momokan amalan di bulan Rejab adalah sia-sia kerana hadis yang menekankan keistimewaan Rejab hanya bersandarkan pandangan ulama’ yang dikatakan sebagai pendusta dan pereka hadis, sementelah pandangan yang meyakini istimewanya bulan mulia ini turut berteraskan hadis yang diyakini sahih.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Taubah: 36 membawa maksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah. Dia menciptakan langit dan bumi, dan di antaranya empat bulan yang dihormati.

Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum Kafir Musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang yang bertakwa”.

Kelebihan Rejab turut dinyatakan dalam Tafsir Ibn Kathir melalui nukilannya daripada pendapat Ibn Abbas RA yang menjelaskan setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan haram ini, dosanya lebih besar berbanding bulan lain.

Sementelah pula, pahala amal soleh yang dilakukan pada bulan ini adalah lebih besar berbanding bulan yang lain.

Ini memahamkan kita bahawa bulan Rejab mempunyai keistimewaan yang tersendiri selaras dengan matan/intisari hadis yang sering didengari menegaskan bahawa “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku (Muhammad SAW) dan Ramadan bulan umatku (umat Nabi Muhammad Saw)”.

Perihal ini didokong oleh Imam Hibbatullah bin Mubarak dan Syeikh Abd Qadir al-Jaylani di dalam kitabnya al-Ghunyah li Thalib Thariq al-Haq.

Selain itu, Imam al-Qurtubi menyebut dalam Jami’ Ahkam al-Qur’an bahawa Rasulullah SAW menegaskan Rejab itu adalah bulan Allah; bulan Ahlullah. Bahkan masyarakat Mukmin di Tanah Haram termasuk kategori Ahlullah kerana Allah memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.

Imam Abu Daud dalam Sunannya, mengemukakan intisari hadis yang meriwayatkan dari Abdullah bin Abi Qais dari Aisyah RA “Bulan yang paling disukai Rasulullah SAW ialah berpuasa di bulan Syaaban. Baginda SAW meneruskan puasanya sehingga ke bulan Ramadan”.

Imam Tabrani dalam Mu’jam al-Ausath, turut meriwayatkan daripada Anas bin Malik RA “apabila tibanya Rejab, Baginda SAW berdoa “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan”. Hadis ini turut dipersetujui oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya.

Imam Muslim dalam Sahihnya, mengukuhkannya dengan meriwayatkan dari ‘Uthman bin Hakim al-Ansari telah bertanya Said bin Jubayr RA mengenai puasa Rejab. Said RA menjelaskan bahawa “Aku mendengar Ibn Abbas RA menyatakan Rasulullah SAW berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda SAW berbuka sehingga tidak kelihatan Baginda SAW berpuasa”.

Di samping itu, Imam Abu Thayyib al-Azhim merekodkan dalam Sunan Abi Daud bahawa Nabi SAW menggalakkan kita untuk berpuasa di bulan haram, dan Rejab adalah salah satu daripada bulan tersebut”.

Pun begitu, kewujudan hadis yang bermaksud “Barangsiapa yang berpuasa satu hari dalam bulan Rejab; Allah SWT akan menulis baginya pahala puasa bagaikan setahun. Dan barangsiapa berpuasa dua hari dalam bulan Rejab; Allah SWT akan menulis baginya pahala puasa bagaikan dua tahun” yang diriwayatkan oleh Daud bin ‘Atha al-Madani seorang perawi hadis yang didakwa daif telah mendorong keraguan tercetus dalam kalangan masyarakat Muslim.

Apatah pula, para ulama’ bersepakat mendaifkan periwayatannya termasuk Imam Ibn Jauziy menerusi kitabnya al-‘Ilal al-Mutanahiyah mengukuhkan lagi kekeliruan tersebut dan dikukuhkan lagi oleh Imam al-Zahabi yang memperakui bahawa hadis puasa Rejab tersebut merupakan hadis marfuk.

Imam Ibn Hajar al-Asqalani turut menjelaskan bahawa hadis kelebihan puasa Rejab yang bersumberkan riwayat Abd Malik bin Harun bin ‘Antarah adalah hadis daif kerana perawinya dikatakan sebagai pendusta dan sengaja mereka hadis tersebut. Selain itu, terdapat perawi hadis yang dikenali sebagai Ibn Jahdham yang turut dikategorikan sebagai pereka hadis kelebihan bulan Rejab.

Pun begitu, apabila kita telusurinya secara tuntas, sekadar menyebut perawi Ibn Jahdham belum cukup jitu untuk meletakkannya sebagai pereka hadis dan pendusta sementelah terdapat nama Ibn Jahfham yang dikategorikan sebagai seorang yang thiqah iaitu individu yang boleh dipercayai dan telah meriwayatkan beberapa hadis sahih dan absah.

Sehubungan itu, menjatuh hukum perawi sebagai pendusta dan pereka hadis tanpa mengetahui biodata perawi secara rinci adalah satu perkara yang tidak menepati, malahan sekadar mengemukakan terjemahan hadis, maksud dan matan semata-mata tidak bererti bahawa hadis tersebut adalah palsu, malahan Abu al-Hassan Ali bin Abdullah Ibn Jahdham merupakan seorang sufi, sementelah pula Imam Fudhail bin ‘Iyadh pernah meriwayatkan dari beliau.

Berasaskan perihal tersebut, kita boleh rumuskan bahawa hadis yang memperlihatkan Nabi SAW melarang umatnya berpuasa di bulan Rejab bukanlah satu yang bersifat mutlak. Bahkan ia turut bertentangan dengan anjuran berpuasa sunat sepanjang bulan Hijrah yang amat digalakkan.

Adalah lebih baik dan indah bagi seluruh umat Muslim meneruskan amalan harian yang meliputi ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah, berselawat dan lain-lain kebaikan sepanjang bulan Hijrah termasuklah juga bulan haram dan suci seperti Rejab, Syaaban dan lebih utama lagi bulan Ramadan tanpa terlibat dengan sebarang konflik pendapat yang hanya mengurangkan tumpuan untuk terus melaksanakan ibadat.

Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk setiap kita yang dahagakan anugerah nikmat Allah meneruskan amalan ibadat harian dan ditambah baik dengan amalan sunnah yang digalakkan. Pada asasnya, hakikat hikmah Rejab ini sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian, dan kejernihan hati dan minda kita.

Ikhlas, mulus dan teluskankan diri dalam melaksanakan amalan dan pastinya sinar keagungan dan keistimewaan bulan Rejab, mahupun Syaaban dan seterusnya Ramadan menjadi milik kita.

Oleh

 Prof. Dr. Khadijah Mohd Khambali @ Hambali

Profesor di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected]

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here