KUALA LUMPUR – Polis giat mengesan dua lelaki yang menaiki motosikal disyaki terlibat kes simbah cat merah di kedai serbaneka KK Mart di dalam kampus Universiti Malaya pada 21 Januari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia susulan hasil siasatan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang berada di sekitar premis terbabit.
“Siasatan mendapati, KK Mart ini ditutup (tidak beroperasi) pada 10 Januari namun pada tengah malam 21 Januari itu, ada individu berada di kedai sebelahnya mendengar bunyi dan berlaku simbahan cat.
“Kita masih jalankan siasatan, memang ada orang datang dengan menaiki motosikal. Kawasan di situ ada CCTV yang dilihat mampu membantu di mana kita lihat ada pergerakan dua lelaki,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Susulan itu, beliau juga meminta orang ramai tidak melakukan provokasi serta melakukan perbuatan jenayah susulan isu sijil halal ‘ham and cheese sandwich’ sebelum ini.
“Nasihat saya, jangan kita lakukan provokasi dan mengambil tindakan jenayah yang boleh menjejaskan industri dan menimbulkan keadaan tidak selamat. Kita minta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil dan salurkan bagi proses siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette