KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga tuntutan dikemukakan kepada kerajaan dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah di Dataran Merdeka, hari ini, dalam memastikan politik negara bersih dan bebas dari rasuah.
Setiausaha Sekretariat himpunan itu, Zaim Zulkifli berkata, tuntutan pertama yang dikemukakan iaitu menggesa kerajaan menyegerakan pemisahan Pejabat Peguam Negara (AGC) daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Bagi tuntutan kedua pula meminta kerajaan ‘membebaskan’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif dengan meletakkan entiti itu di bawah Parlimen dan seliaan rakyat.
Katanya, untuk tuntutan ketiga adalah menggesa kerajaan menyegerakan Akta Pendanaan Politik di negara ini.
“Sebelum ini, mereka (kerajaan) antara pihak yang tegas bersuara berkaitan isu rasuah namun apabila menjadi kerajaan, isu rasuah dipandang enteng.
“Keadaan ini turut meragukan apabila nampak seperti tidak komited terhadap institusi kehakiman apabila AGC, SPRM dan sebagainya mula dipersolkan rakyat.
“Kita nampak satu trend apabila satu parti itu menjadi kerajaan, dia akan mengenakan parti lawan atau pembangkang dan situasi ini adalah merisaukan kita,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, tinjauan mendapati Himpunan Rakyat Benci Rasuah itu berarak dari Kompleks Sogo ke Dataran Merdeka pada jam 2.30 petang.
Kira-kira ratusam individu melibatkan mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) hadir dalam himpunan itu.
Tambah Zaim, pihakya menggesa tiga tuntutan itu dilaksanakansepanjang pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.
“Ini baru kali pertama kami turun himpunan ini. Jangan sampai kami turun kali kedua, ketiga (jika tak laksanakan tiga tuntutan berkenaan).
“Kita gesa Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri ketika ini laksanakan tiga tuntutan ini dalam penggal pemerintahnya. Ini penting supaya rakyat lihat kerajaan benar-benar telus,” ujarnya.
Tambah Zaim, pihaknya juga merancang untuk menyerahkan memoradum terkandung tiga tuntutan itu kepada menteri berkaitan di Putrajaya dalam masa terdekat.
Ditanya mengenai penggunaan ‘poster boy’ dalam himpunan itu melibatkan beberapa ahli parti politik melayu dan tiada wajah dari pemimpn parti DAP.
Zaim yang juga pelajar jurusan Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, ini kerana individu terbabit memiliki kes rasuah yang menjadi tumpuan rakyat ketika ini.
Kita banyak fokuskan pada beberapa parti yang terkenal seperti melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,
Sebelum ini, saya lihat dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) meletakkan poster boy Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan kes Janawibawa dan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).
“Kenapa kami tidak letakkan spesifik muka Lim Guan Eng, kerana kita rasa bahawa isu berkaitan Datuk Seri Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak lebih besar dan tumpuan rakyat.
“Bagi kami, apa yang kedua-dua tokoh ini lakukan pada negara sangat besar isunya kerana itu mereka menjadi kami punya ‘poster boy’ dalam himpunan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette