Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri), Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing (empat kiri) dan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Republik China, Sun Yeli (tiga kiri) menggaul yee sang sebagai gimik perasmian pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 JANUARI 2025

KUALA LUMPUR –  Hubungan antara Malaysia dan China bukan sahaja sekadar kepentingan ekonomi yang berkait dengan pelaburan serta perdagangan.

Sebaliknya menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia juga merangkumi persahabatan yang akrab terutamanya dalam seni kebudayaan, peradaban serta perasaan saling hormat menghormati antara satu sama lain selama ini.

Anwar mendedahkan, ketika pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jin Ping, kedua-dua mereka turut berbincang bukan sahaja mengukuhkan hubungan diplomatik antara dua negara ini sebaliknya juga kepentingan keakraban persahabatan terbina sekian lama.

“Keunikan hubungan Malaysia-China bukan sahaja dipupuk bersama-sama menerusi kerjasama ekonomi. Ketika perjumpaan saya dengan Jin Ping, kita ada berbincang bagaimana untuk terus membina persahabatan ini yang bukan hanya berlandaskan pelaburan sahaja.

”Kita bercakap tentang kepentingan dan juga keperluan untuk membina persahabatan ini atas dasar kepercayaan dan saling menghormati.

“China menghormati budaya kita selaras dengan prinsip Malaysia berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 JANUARI 2025

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China, Sun Yeli dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Acara julung kali ini turut dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China sebagai usaha sama dalam mengukuhkan hubungan diplomatik kedua negara.

Terdahulu sebelum berucap, satu acara istimewa pertunjukan dron diadakan di pekarangan KLCC sebagai simbolik sambutan di ikuti tetamu kenamaan turut melakukan upacara menggaul Yee Sang dengan kehadiran lebih 300 tetamu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here