KOTA BHARU – Seorang pembantu mekanik maut selepas dihempap pemberat getah mesin conveyer di sebuah kuari di Mukim Jerus Selising, Pasir Puteh semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 4 petang dan segera menghantar anggota polis dari Balai Polis Selising dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, polis mendapati mangsa seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia akibat dihempap pemberat getah mesin berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di kawasan sekitar kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Selising, Sarjan Mejar Suhaimi Abdullah menerusi talian 019-2424434 atau Bilik Gerakan IPD Pasir Puteh 09-7867222. – BERNAMA