KUANTAN – Seorang pekerja di sebuah pasar raya di sini maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori tanpa muatan di jalan pintasan Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat Bukit Rangin hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.22 petang tadi.
Menurutnya, kejadian berlaku semasa lori tersebut dari arah Semambu menghala ke Gambang.
Lori itu dilanggar dari belakang oleh motosikal ditunggang mangsa ketika mahu memulakan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan itu, mangsa bernama Jek Achang Yusup, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette