KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima pelantikan baharu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkuatkuasa pada 19 Januari 2025 untuk tempoh dua tahun.
Beliau memiliki latar belakang akademik dalam bidang ekonomi dan merupakan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT semenjak tahun 2022.
Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir dilantik sebagai Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat). Sebelum ini, beliau menyandang jawatan sebagai Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT selama lima tahun sejak 2019.
Manakala Profesor Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor yang sebelum ini merupakan Pengarah, Pusat Pembangunan Dan Pengurusan Akademik pula dilantik sebagai Pro Naib Canselor (Industri, Masyarakat dan Digital) berkuat kuasa pada 5 Disember 2024.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim berkata, pelantikan ini dilihat bakal meneruskan agenda pemerkasaan UMT sebagai peneraju utama bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik negara, sekali gus mampu memacu pembangunan ekonomi komuniti menerusi Dasar Ekonomi Biru.
Beliau turut menyeru warga UMT agar sama-sama berganding bahu dalam meningkatkan lagi keterlihatan universiti ke persada antarabangsa serta meletakkan nama UMT sebaris dengan nama universiti terkemuka lain. – MalaysiaGazette