Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan ‘Stabil’ oleh Moody’s mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi, serta kekal pada landasan pembaharuan fiska.

“Pengesahan penarafan oleh Moody’s merupakan pengiktirafan ke atas Kerajaan Madani dalam memacu perubahan struktur, berpandukan hala tuju dasar yang jelas dan komitmen tidak berbelah bahagi kepada piawaian tatakelola yang tinggi.

“Kerajaan kekal teguh melaksanakan pembaharuan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serantau agar agenda pembaharuan ini dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan memesatkan pembaharuan fiskal dan ekonomi pada tahun ini seperti yang digariskan di bawah Belanjawan 2025.

Di samping itu, kerajaan memberi keutamaan kepada pelaburan berkualiti untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta mempercepatkan pembangunan infrastruktur bersepadu bagi menyokong kepelbagaian ekonomi dan peluang baharu.

“Kerajaan juga akan mengambil kesempatan selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk menerajui blok ekonomi ini ke arah ketertiban ekonomi bersepadu yang sentiasa bekerjasama dan menggalakkan keberhasilan yang saling menguntungkan bagi rantau ini,” tambah beliau.

Menurut Moody’s, Malaysia akan menjadi ekonomi berpenarafan A yang paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun yang akan datang, sambil menyatakan prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia memberangsangkan.

Agensi penarafan ini menjelaskan kekuatan struktur kredit negara mengambil kira, antaranya kepelbagaian struktur ekonomi, daya saing dan kestabilan harga sebagai faktor yang menggalakkan perbelanjaan penggunaan, disokong kukuh oleh pasaran modal domestik dan sistem kewangan yang sofistikated.

Moody’s turut mengiktiraf sokongan utuh politik yang telah memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi yang signifikan termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta perundangan lain.

Dalam hal ini, Anwar berkata, kerajaan terus komited untuk menambah baik kewangan awam dengan memperkasakan usaha dalam meningkatkan hasil dan rasionalisasi subsidi.

Berdasarkan anggaran awal KDNK suku keempat tahun 2024 pada 4.8%, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan di antara 4.8% hingga 5.3%.

Kerajaan juga optimis pertumbuhan ekonomi akan kekal teguh pada 2025, dengan unjuran antara 4.5% hingga 5.5%.

Di samping itu, usaha konsolidasi fiskal akan terus menurunkan defisit, dijangka pada 4.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar tahun lalu kepada 3.8% pada 2025, secara beransur selaras dengan penetapan sasaran fiskal di bawah Akta Kewangan Awamdan Tanggungjawab Fiskal 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here