Pesawat Jeju Air Penerbangan 2216 yang terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan

SEOUL- Pesawat Jeju Air yang terlibat dalam nahas maut bulan lalu menerima amaran daripada kawalan trafik udara mengenai aktiviti burung hanya satu minit sebelum rakaman kotak hitamnya berhenti, kata Kementerian Pengangkutan Korea Selatan pada Sabtu.

Menurut agensi berita Yonhap, kementerian itu memaklumkan kepada keluarga mangsa mengenai penemuan awal selepas menyiasat nahas maut pesawat syarikat penerbangan kos rendah dari Bangkok yang mengorbankan 179 nyawa dan dua mangsa terselamat di bandar Muan, barat daya Korea Selatan pada 29 Dis tahun lalu.

Kerajaan merancang untuk mengeluarkan laporan awal pada Isnin, yang akan dihantar kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Amerika Syarikat, Perancis dan Thailand, menurut kementerian itu.

Jawatankuasa siasatan di bawah kementerian itu berkata rakaman video dari masa kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan mengesahkan bahawa pesawat itu cuba melakukan percubaan pusingan semula apabila ia melanggar sekumpulan burung.

Pesawat itu pertama kali berkomunikasi dengan menara kawalan trafik udara pada 8:54:43 pagi ketika ia menghampiri pendaratan. Menara kawalan memberi kelulusan untuk mendarat di Landasan 01, bertentangan dengan arah landasan tempat kemalangan berlaku.

Pada 8:57:50 pagi, menara kawalan mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan perlanggaran dengan burung. Pada 8:58:11 pagi, kapten dan pembantu kapten berbincang mengenai sekumpulan burung yang terbang di bawah pesawat.

Rakaman tersebut dilihat berhenti pada 8:58:50 pagi, menunjukkan bahawa pesawat itu kemungkinan kehilangan kuasa selepas kedua-dua enjinnya terhenti akibat perlanggaran dengan burung.

Bulu dan darah, yang dipercayai dari sejenis itik migrasi musim sejuk, ditemui pada kedua-dua enjin, menurut kementerian itu.

Kapten dipercayai telah membuat panggilan kecemasan “mayday” pada 8:58:56 pagi, tetapi ini adalah anggaran berdasarkan penyelarasan dengan rekod menara kawalan, kerana tiada rakaman panggilan tersebut dalam kotak hitam, tambah kementerian itu.

Pesawat itu terbang selama kira-kira empat minit sebelum mendarat dari arah bertentangan tanpa gear pendaratan diturunkan. Ia merempuh struktur konkrit menempatkan sistem navigasi dan meletup dalam api pada 9:02:57 pagi.

Kementerian itu berkata analisis data penerbangan dan rakaman suara kokpit untuk pengesahan akan mengambil masa beberapa bulan.

Sementara itu, kumpulan yang mewakili keluarga mangsa berkata ia telah memutuskan untuk menghentikan pencarian mayat mangsa di tapak kemalangan.

Pihak berkuasa telah menghantar mayat yang ditemui dari tapak kejadian ke institut forensik negara untuk pengecaman.

— BERNAMA-YONHAP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here