KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok yang dikesan di tiga lokasi berbeza di Kelantan pada jam lebih kurang 6 petang semalam selepas menahan seorang lelaki di sebuah warung di Kota Bharu dalam Op Taring Wawasan.
Hasil soal siasat, satu serbuan telah dilakukan ke rumah suspek dan menemui 13 karton rokok jenama SAAT bernilai RM4,862di ruang tamu rumah tersebut.
Selepas siasatan lanjut, dua serbuan lagi telah dilakukan pada keesokan harinya di pengkalan haram Pulau Tengkorak di Tumpat dan sebuah kilang kayu di Tanah Merah.
Serbuan itu membawa kepada penemuan lebih kurang 4,600 lagi karton rokok tanpa cukai di lokasi serbuan menjadikan nilai rampasan berjumlah RM1,725,262
Rokok ini disyaki untuk dijual ke pasaran tempatan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan hasil rampasan dibawa ke tiga ibu pejabat Polis daerah masing-masing untuk tindakan selanjutnya.
Pasukan Gerakan Am akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.- MalaysiaGazette