KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedia bersama-sama mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mangsa pendawaian haram dan curi identiti seperti yang didakwa Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Dalam satu kenyataan ringkas, TNB berkata, pihaknya akan menghubungi pejabat Chean Chung dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik dengan pemilik hartanah yang terkesan.
TNB merujuk pada berita yang diterbitkan oleh MalaysiaGazette pada 24 Januari 2025 bertajuk “Tuntutan Kerugian Berjuta Ringgit: TNB Juga Perlu Bertanggungjawab – Ahli Parlimen PJ.
Dalam pada itu, TNB turut mengingatkan pemilik hartanah supaya mengemukakan permohonan Change of Tenancy (COT) kepada TNB setiap kali penyewa baharu yang menduduki premis mereka.
Langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian atau liabiliti berkaitan akaun elektrik pada masa hadapan.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Chean Chung menggesa TNB tampil membantu 46 pemilik rumah dan premis syarikat yang menjadi mangsa kepada pendawaian haram sindiket individu menjalankan kegiatan bitcoin dengan melakukan pendawaian secara haram.
Selain itu, ada segelintir juga menjadi mangsa kes curi identiti yang digunakan untuk mendaftar akaun TNB sebelum mendapat bil mencecah puluhan dan ratusan ribu.
Difahamkan kerugian mangsa dengan kerugian lebih RM8 juta sekitar Lembah Klang dan beberapa lokasi luar. – MalaysiaGazette
Tuntutan Kerugian Berjuta Ringgit : TNB Juga Perlu Bertanggungjawab – Ahli Parlimen PJ