KUANTAN – Klip video yang tular sejak semalam memaparkan tindakan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengasari seorang individu merupakan babak lakonan dan bukanlah kejadian sebenar.
Dalam kenyataannya, JPJ Negeri Pahang berkata, klip video tular berdurasi 35 saat itu dilakonkan dalam raptai bagi demonstrasi sempena lawatan kerja Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia pada Isnin ini.
“JPJ Negeri Pahang menegaskan bahawa kekasaran dimaksudkan adalah tidak benar.
“JPJ Pahang menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan,” tambah kenyataan itu lagi.
Selain itu, katanya orang ramai juga dinasihat agar berhati-hati dan merujuk kepada sumber yang sahih sebelum mempercayai dan berkongsi sebarang berita atau video yang tersebar. – MalaysiaGazette