KUALA LUMPUR – Seramai lapan orang pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar terlibat dalam nahas jalan raya semasa sedang dalam perjalanan rehlah ke Port Said.
Education Malaysia Egypt (EME) berkata, lima pelajar mengalami luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Mereka ialah Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi, dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon.
Manakala tiga orang pelajar, Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri, dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi ditempatkan di wad untuk pemerhatian lanjut oleh pihak hospital.
Setiausaha Pertama (Pendidikan) EME, Ahmad Salehuddin Shafie dan Muhammad Nazirul Mubin Abdul Rahman bergegas ke Hospital As Salam Port Said untuk melihat sendiri keadaan mereka.
Menurut EME, nahas ini juga telah mendapat perhatian pihak Universiti Al-Azhar apabila mereka menghantar pegawai dari Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Mahasiswi) kampus Port Said, Dr Syaima Amir Al Bana, Dr Fauziyah Muhallal, Dr Ahmad Al Sudani, dan Madam Syaima’ Al Huseini untuk membantu rawatan pelajar, seterusnya memudahcarakan pengurusan bersama pihak hospital.
Menjelang awal pagi tadi, tiga orang pelajar yang dirawat dalam wad telah selamat dibawa ke hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette