GAZA – Beribu-ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal telah dihalang daripada pulang ke rumah mereka di utara Semenanjung Gaza, selepas Israel menyekat jalan utama.
Israel menuduh Hamas melanggar syarat perjanjian gencatan senjata.
Pertikaian itu berlaku selepas Hamas membebaskan empat askar wanita Israel dan Israel membebaskan 200 tahanan Palestin.
Tetapi kerajaan Israel berkata, penduduk Gaza tidak akan dibenarkan melakukan perjalanan ke utara sehingga rancangan dibuat untuk membebaskan orang awam Israel, Arbel Yehud.
Hamas telah menegaskan Arbel masih hidup dan akan dibebaskan minggu depan.
Menurut perjanjian itu, Hamas akan membebaskan orang awam sebelum tentera.
Pada petang Sabtu, ketika orang ramai berkumpul di sepanjang jalan al-Rashid di tengah Gaza untuk pulang ke rumah, tembakan dilaporkan dilepaskan.
Kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas, dan media Palestin melaporkan seorang terbunuh dan beberapa cedera.
Empat das tembakan boleh didengari dalam video yang dilaporkan mengenai kejadian itu yang disiarkan dalam talian. BBC Verify, mengesahkan lokasi rakaman.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, tenteranya di tengah Gaza telah melepaskan tembakan selepas “beberapa perhimpunan berpuluh-puluh suspek dikenal pasti yang menimbulkan ancaman kepada mereka”.
“Bertentangan dengan laporan yang timbul sejak beberapa jam kebelakangan ini, semua tembakan di kawasan itu dilakukan bagi tujuan menjauhkan diri dan bukan bertujuan untuk membahayakan. Kami menegaskan setakat ini yang diketahui tiada kecederaan kepada suspek susulan tembakan itu,” katanya.
Koridor Netzarim ialah sebidang tanah sepanjang tujuh kilometer (4.3 batu) yang dikawal oleh Israel yang memotong utara Gaza dari seluruh wilayah itu.
Pengantara Qatar dan Mesir membuat kemajuan dalam usaha mereka untuk membenarkan ratusan ribu rakyat Palestin kembali ke utara.
Tetapi kereta kebal Israel masih menghalang jalan pantai tempat orang ramai sepatutnya berjalan ke utara.
Pihak Israel telah meminta perantara untuk mendapatkan bukti Arbel masih hidup.
Empat askar wanita Israel yang dijadikan tebusan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023 telah dibebaskan pada hari Sabtu sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang turut menyaksikan 200 tahanan Palestin dibebaskan. – Agensi