BAITULMUQADDIS – Doktor tentera Israel pada Sabtu menyatakan kesihatan empat askar wanita yang dibebaskan adalah “sangat baik” dan mengesahkan mereka tidak diberikan perangsang atau dadah semasa ditawan di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).
Penilaian oleh doktor itu menyangkal dakwaan rasmi Israel bahawa Hamas memberi perangsang kepada tawanan dalam bentuk vitamin dan ubat penenang untuk membuatkan mereka kelihatan gembira sebelum dibebaskan.
Penyiar rasmi Israel, KAN melaporkan, doktor tentera mendapati askar wanita itu berada dalam keadaan “sihat dan stabil” selepas menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik dibebaskan.
Doktor turut memaklumkan askar wanita itu mengesahkan mereka tidak diberikan perangsang atau dadah semasa dalam tawanan.
Askar wanita itu kemudian mengesahkan nyawa mereka terancam dan mereka mengalami “ketakutan melampau” akibat pengeboman sengit tentera Israel berhampiran tempat mereka ditahan.
Kenyataan mereka selari dengan amaran awal kumpulan pejuang Palestin yang menyatakan serangan udara Israel telah menyebabkan kematian puluhan tahanan dalam jagaan mereka dan hampir mengakibatkan kematian beberapa yang lain.
Ahli keluarga askar yang dibebaskan memberitahu saluran Israel, Channel 12, tawanan itu memaklumkan mereka ditahan di lokasi yang sangat dekat dengan kawasan pengeboman, yang menyasarkan wilayah Gaza selama lebih 15 bulan.
Menurut kenyataan, askar wanita itu turut menyatakan mereka kerap dipindahkan antara rumah dan terowong semasa dalam tahanan, di tengah-tengah serangan udara, untuk memastikan keselamatan mereka.
Hamas menyerahkan empat askar wanita itu pada Sabtu di bawah perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan dengan Israel.
Seramai 200 tahanan Palestin turut dibebaskan sebagai pertukaran dengan askar wanita itu.
Di bawah fasa pertama gencatan senjata itu, Israel kini dijadual berundur dari kawasan Koridor Netzarim yang memisahkan utara Gaza dengan selatannya, membolehkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal kembali ke utara.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata selama enam minggu itu bermula pada 19 Jan, menangguhkan serangan genosid Israel yang telah mengorbankan lebih 47,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 111,000 yang lain sejak 7 Okt 2023.
Pada hari pertama perjanjian itu, Israel membebaskan 90 tahanan Palestin sebagai pertukaran dengan tiga tawanan Israel yang dibebaskan oleh Hamas.
Perjanjian gencatan senjata tiga fasa itu merangkumi pertukaran tahanan dan ketenangan yang berterusan, bertujuan mencapai genjatan senjata kekal dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Serangan Israel juga menyebabkan lebih 11,000 orang hilang, dengan kemusnahan meluas dan krisis kemanusiaan yang meragut nyawa ramai warga emas, wanita dan kanak-kanak.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November lepas terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan yang dilancarkan ke atas wilayah itu. – BERNAMA
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast