MELAKA – DAP mencadangkan Jalan Hang Tuah di sini dijenamakan semula menjadi pusat tarikan pelancong berkonsepkan Jonker Walk sehingga ia berjaya mendapat sambutan pelancong khususnya ketika sambutan Tahun Baharu Cina.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, kawasan yang mungkin boleh dikenali sebagai Jonker Walk 2.0 itu berpotensi merancakkan lagi ekonomi peniaga dan masyarakat setempat kerana mempunyai ruang siar kaki yang lebih luas berbanding Jonker Walk.
“Saya nak cadangkan Jalan Hang Tuah ini jadi tarikan baharu duplicate (mencontohi) seperti Jonker Walk, mungkin boleh katakan Jonker Walk 2.0.
“Memang kita ada dapat permintaan daripada peniaga-peniaga bazar Ramadan juga kerana tahun ini difahamkan bazar dipindahkan ke Banda Hilir, jadi Jalang Hang Tuah akan sunyi,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata demikian selepas merasmikan Karnival Tahun Baru Cina Negeri Melaka di Jonker Walk di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk, Datuk Gan Tian Loo.
Mengulas lanjut Chee Leong berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang cadangan mewujudkan Jonker Walk 2.0 daripada masyarakat yang boleh menyalurkannya kepada Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun).
“Kalau kita dapat laksanakan Jonker Walk 2.0 ini di Jalan Hang Tuah, ia akan merancakkan ekonomi setempat dan keseluruhanan negeri Melaka amnya.
“Cadangan ini adalah selepas mendapati kejayaan Jonker Walk yang sudah berusia 25 tahun menjadi salah satu destinasi termasyur pelancong semasa Tahun Baharu Cina malah mungkin kemeriahannya lebih besar berbanding di Tanah Besar China sendiri,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk, Datuk Gan Tian Loo berkata, beliau komited untuk melaksanakan cadangan itu sebagaimana pasar malam Jonker Walk sehingga ia mencapai standard kelas dunia.
“Sepanjang 25 tahun usia Jonker Walk, kita mempunyai banyak pengalaman untuk menguruskan uptown (pasar malam) pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad ini.
“Tentulah, kita akan beri sokongan kepada Yang Berhormat Kota Laksamana menggunakan pengalaman yang ada untuk menjayakan projek (Jonker Walk 2.0) ini,” katanya. – MalaysiaGazette