KUALA LUMPUR – Fenomena kerrang terdampar di pantai-pantai di Terengganu setiap kali musim timur laut adalah biasa dan tidak perlu dirisaukan.
Ia kerana, pada musim tersebut, berlaku angin kencang, ombak besar dan struktur pantai yang tertentu menyebabkan banyak kerang terdampar di
pesisir pantai.
Pensyarah di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Roslizawati Ab Lah berkata, kerang-kerang yang terdampar di pantai Terengganu adalah selamat untuk dimakan.
Bahkan, beliau menjelaskan fenomena itu bukan petanda sesuatu yang buruk bakal berlaku, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada proses alami yang berlaku hampir setiap tahun semasa musim monsun.
“Proses terdamparnya kerang di pantai ini berkait rapat dengan struktur geografi pantai, kekuatan ombak, serta arah dan kelajuan tiupan angin semasa musim monsun timur laut.
“Tiupan angin yang kuat dan pergerakan ombak yang besar membawa kerang-kerang ini ke pesisir pantai. Biasanya, kerang-kerang ini masih dalam keadaan baik dan boleh dimakan dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, bagi penduduk setempat dan pelancong yang gemar menikmati makanan laut, fenomena ini memberikan peluang untuk mereka mengutip kerang-kerang yang terdampar, tetapi ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian.
Kerang-kerang yang terkumpul di pantai mungkin terdedah kepada bakteria atau pencemaran air, jadi adalah penting untuk memastikan bahawa kerang tersebut dibersihkan dengan betul sebelum dimasak.
Selain itu, fenomena ini turut memberi gambaran tentang betapa pentingnya ekosistem lautan dan pesisir pantai dalam menjaga keseimbangan alam.
“Kerang-kerang yang terdampar bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti, tetapi lebih kepada proses semula jadi yang berlaku akibat perubahan dalam kondisi cuaca dan alam sekitar,” ujar beliau.
Jadi, untuk sesiapa yang tertanya-tanya mengenai keselamatan memakan kerang yang terdampar, Roslizawati menekankan asalkan ia dibersihkan dengan sempurna dan dimasak dengan baik, kerang-kerang ini tetap boleh dinikmati dengan selamat.
Beliau turut mengingatkan, jangan biarkan fenomena alam ini menakutkan, sebaliknya nikmati keunikan alam sekitar Terengganu yang memberi banyak rezeki kepada mereka yang menghargainya. – MalaysiaGazette