KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang surat jemputan atau memberikan kebenaran
kepada 12 warganegara Bangladesh yang dilaporkan cuba memasuki Malaysia menggunakan dokumen dan pakaian yang memaparkan logo jabatan itu.
Pemakaian pakaian dengan logo rasmi DOF oleh individu-individu ini merupakan tindakan berniat untuk mengelirukan pihak berkuasa.
Tindakan ini adalah satu perbuatan serius yang mencemarkan imej dan reputasi DOF sebagai sebuah institusi kerajaan yang bertanggungjawab dalam sektor perikanan negara.
Sehubungan itu, DOF ingin merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas tindakan pantas mereka yang berjaya menghalang cubaan individu-individu ini untuk memasuki Malaysia.
“Kecekapan JIM dalam menangani isu ini adalah bukti komitmen mereka dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya sambal menyeru orang ramai supaya berhati-hati terhadap pihak-pihak tertentu yang cuba menyalahgunakan nama, logo, atau identiti jabatan untuk tujuan yang tidak sah.
DOF meminta sebarang maklumat mengenai aktiviti mencurigakan boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, DOF juga akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan bagi memastikan langkah pencegahan yang lebih berkesan dapat diambil untuk mengelakkan insiden seperti ini daripada berulang. – MalaysiaGazette