KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu tempat penyimpanan minyak diesel haram di Lot 1168, Mukim 14, Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang Khamis lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) kementerian itu, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan dibuat oleh sepasukan anggota penguat kuasa menerusi aduan orang awam dan maklumat risikan.
Jelas beliau, hasil serbuan menemukan empat unit skid tank bersambung saluran paip yang mengandungi kira-kira 25,000 liter minyak diesel dan 16,000 liter minyak petrol serta empat unit skid tank kosong.
“Terdapat lima buah lori yang dilengkapi dengan IBC tank di premis tersebut, yang mana ketika serbuan dijalankan, dua daripada lori itu sedang memindahkan 4,000 liter minyak diesel dan 1,000 liter minyak petrol ke dalam skid tank.
“Sebuah lori tangki juga berada di lokasi dan dipercayai sedang menunggu giliran untuk pemindahan seterusnya,” katanya menerusi kenyataan.
Serbuan itu berjaya menyita sejumlah 32,600 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM101,768, 18,400 liter minyak petrol bernilai RM38,730, lima buah lori yang dilengkapi dengan IBC tank dan pelbagai peralatan yang dianggarkan RM106,400.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM247,198.
Dalam masa yang sama, enam individu warga tempatan berusia di antara 25 hingga 48 tahun dipercayai ekerja dan pemandu lori ditahan di premis berkenaan.
Menurut Shamsul, sindiket ini mendapatkan bekalan minyak diesel dan minyak petrol dari beberapa stesen minyak di sekitar Pulau Pinang pada awal pagi menggunakan lima buah lori yang mempunyai IBC tank dan kembali semula ke stor selepas tiga hingga empat jam pengisian.
Jelasnya, minyak berkenaan kemudian dikumpulkan di tempat penyimpanan yang diserbu sebelum diedarkan semula ke pasaran.
Susulan serbuan itu kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 21 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] kerana niat untuk melakukan kesalahan.
“Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti dalang utama yang terlibat dalam sindiket ini,” tambah beliau.- MalaysiaGazette